PETALING JAYA 26 Sept. – Dua belas syarikat berkaitan GISB Holdings (GISBH) dikenakan kompaun keseluruhan RM4.4 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana gagal menyerahkan penyata tahunan dan kewangan masing-masing.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata kompaun itu dikeluarkan baru-baru ini selepas siasatan SSM mendapati semua syarikat terbabit tidak mematuhi tanggungjawab berkenaan.
Katanya, selain 12 entiti perniagaan itu, 17 syarikat lain menggunakan nama ‘GISB’ dalam pendaftaran SSM manakala semakan data serta laman sesawang berkaitan ‘GISB’ atau ‘Ikhwan’ mendapati 201 perniagaan boleh dikaitkan dengan GISBH.
“Antara tanggungjawab syarikat setiap tahun ialah perlu mengemukakan penyata kewangan yang telah diaudit. Siasatan SSM mendapati 12 syarikat ini tidak patuh dengan tanggungjawab menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan,” katanya selepas majlis perasmian TikTok Shop Seller Summit 2024, di sini hari ini.
Dalam isu GISBH, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi perundangan dan ketidakpatuhan terhadap akta berkaitan oleh rangkaian perniagaan mereka.
Nnn
