GENEVA – Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), mengecam peningkatan serangan peneroka haram Israel dan tindakan tentera Israel di wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat.
Justeru OHCHR memberi amaran bahawa sesetengah tindakan itu mungkin dianggap sebagai jenayah perang.
“Gambar kumpulan peneroka haram Israel bertopeng melakukan serangan dan pembakaran di Tebing Barat yang diduduki, minggu ini, adalah menjijikkan dan mencerminkan corak keganasan semakin meningkat terhadap rakyat Palestin,” kata jurucakap OHCHR, Thameen Al-Kheetan.
Beberapa individu cedera dalam kejadian itu, termasuk serangan terhadap sebuah kilang tenusu serta pembakaran lori penghantaran dan rumah.
Beliau berkata demikian pada taklimat mingguan di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.
Pegawai PBB berkata, keganasan semakin meningkat ketika pihak berkuasa Israel memperluaskan tindakan perobohan rumah, rampasan harta, tangkapan serta sekatan pergerakan.
Al-Kheetan turut mengkritik ‘pembinaan penempatan dan pos baharu yang berterusan serta pengusiran dan pemindahan paksa ribuan rakyat Palestin oleh pendatang haram Israel dan tentera.’
Beliau memberi amaran, ‘memindahkan penduduk Palestin secara tetap di dalam wilayah diduduki, adalah pemindahan haram yang merupakan jenayah perang, begitu juga memindahkan orang awam Israel ke wilayah diduduki.
PBB menegaskan Israel yang mendakwa memiliki kedaulatan ke atas Tebing Barat, jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
Lebih 260 serangan oleh peneroka haram Israel direkodkan pada Oktober lalu – jumlah bulanan tertinggi sejak 2006.
