Semua dewasa vaksinasi percuma

NEW DELHI 8 Jun – Selepas dikritik berhubung cara pengurusan vaksinasi, Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Isnin.mengumumkan akan memberikan vaksin Covid-19 percuma kepada semua orang dewasa.

Pengumuman yang dibuat melalui ucapan di televisyen itu mengubah dasar yang diperkenal pada April supaya kerajaan negeri dan sektor swasta bertanggungjawab memvaksinasi individu berusia 18 hingga 44 tahun.

Katanya , mulai Isnin 21 Jun, kerajaan India akan memberikan vaksin percuma kepada negeri-negeri untuk semua warganegara berumur 18 tahun ke atas.

Katanya, Kerajaan India akan memperoleh 75 peratus vaksin yang dihasilkan oleh kilang pengeluar dan memberikannya kepada negeri secara percuma manakala selebihnya akan dibeli oleh sektor swasta.

Sebelum ini, banyak pihak mengkritik pemberian vaksin di India yang disifatkan tidak tersusun, hingga tidak sampai 5 peratus daripada 950 juta populasi dewasanya telah divaksin.

Mahkamah Agung India baru-baru ini secara tegas mengkritik cara pengurusan program imunisasi Covid-19 yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan di negara itu.

Para hakim mempertikaikan polisi Persekutuan menjadikan setiap negeri `berlumba-lumba’ sesama sendiri untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Mahkamah agung juga menyifatkan tindakan meminta individu berusia 18 hingga 44 tahun membayar untuk suntikan vaksin mereka sebagai tidak rasional.

Setakat ini India telah memberikan lebih 222 juta vaksinasi manakala kes

jangkitan Covid-19 di India kini berada pada tahap lebih 100,000, menurun berbanding 400,000 pada bulan Mei.

Walaupun kebanyakan negeri memberi vaksin kepada golongan usia ini secara percuma, mereka terpaksa bersaing untuk mendapatkan dos dengan sektor swasta.

Pakar menyatakan, pembuat vaksin memperoleh lebih banyak keuntungan dengan menjual pada harga yang tinggi kepada sektor swasta, menyebabkan banyak negeri berebut bekalan.

Related posts

Leave a Comment