Teliti isu persempadanan semula

TEMERLOH 15 Sept. – Semua pimpinan Pas negeri diminta mengambil inisiatif sendiri untuk meneliti isu persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan dibawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Pas,  Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan , kepemimpinan Pas negeri supaya tidak menunggu lagi dengan mengambil kira tempoh persempadanan semula pilihan raya akan bermula pada 2026.

Katanya, lajnah pemerkasaan mengambil 11 agenda yang dicerakinkan dalam bentuk pelan tindakan dan akan memfokuskan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen dimenangi Pas dengan harapan penumpuan itu dapat menambah sokongan pengundi.

“Untuk bekerja ke arah itu, kita menyediakan roadmap (peta halatuju). Saya kebetulan jadi mas’ul (penyelaras) Borneo (Sabah dan Sarawak). Sabah akan berdepan pilihan raya tahun depan, kita tahu 2026 ialah tempoh persempadanan baharu pilihan raya.

Jadi, Pas negeri tidak boleh hanya menunggu. Mesti ada usaha untuk meneliti persempadanan yang mungkin akan dibawa oleh SPR. Ada (kawasan pilihan raya) negeri yang sangat tak betul dan tak patut persempadanan (semula) pilihan raya.

“Di Pahang semua kawasan (Parlimen) lain ada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi di Parlimen Pekan ada empat DUN. Nak memenangkan Parlimen Pekan sampai Batu 9 (jaraknya) yang sembilan batu (14.5 kilometer) dari bandar Kuantan masuk dalam (kawasan) Parlimen Pekan.

“Kita saksikan bagaimana perubahan besar berlaku,” katanya dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.

Daripada 43 kerusi Parlimen dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Tuan Ibrahim berkata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mahu ia ditambah kepada 60 kerusi.

Justeru, beliau menuntut kerjasama semua pihak dalam Pas untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

“Presiden Pas meletakkan sasaran perlu menang 60 kerusi Parlimen pada PRU16. Kita ambil ini sebagai cabaran untuk kita semua. Jadi anak muda, anak tua, (sayap pergerakan) muslimat dan ameerah, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) bersama Dewan As-Sabiqun, semua mesti bersedia mengekalkan kemenangan yang kita ada dan menambah sasaran kemenangan.

“Ini kerana kita tahu bukan mudah untuk mencapai sasaran, namun tidak juga mustahil boleh mencapai sasaran itu,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment