Dedahkan kandungan perjanjian MoU peruntukan

SEPANG 15 Sept. – Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah tepat menolak dua draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada Kerajaan Perpaduan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN, kata Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, ini kerana draf cadangan MoU itu didakwa mengandungi terma perjanjian yang sangat berbahaya terhadap kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan agama Islam dan hak-hak istimewa Bumiputera.

Justeru beliau dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini mencabar jika fakta itu tidak benar, kerajaan boleh mendedahkan kandungan perjanjian jika kerajaan berani.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, dalam memorandum itu, dinyatakan dengan jelas bahawa Ahli Parlimen PN hendaklah memperakui hak-hak sama rata semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Tiada sebarang jaminan dinyatakan terhadap kedudukan agama Islam serta hak-hak Bumiputera dalam memorandum itu, menjadikan ia perkara yang berada dalam kedudukan samar dan boleh ditafsirkan dengan pemahaman salah.

Bukankah Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, mengatasi agama-agama yang lain? Bukankah Perlembagaan yang sama juga menjamin hak-hak Bumiputera, maka apakah maksud daripada terma perjanjian yang ‘memaksa’ PN memperakui hak-hak sama rata tanpa mengira agama dan bangsa?” katanya.

Beliau juga mendakwa Ahli Parlimen pembangkang dikehendaki untuk tidak membuat ‘bangkangan’ yang sia-sia di Parlimen.

“Siapakah yang akan membuat definisi ‘sia-sia’ itu? Jika tidak boleh membuat bangkangan, maka apa lagi tugas seorang Ahli Parlimen? Untuk menjadi ‘rubber stamp’ kepada kerajaan?

“Sekali-kali tidak. Kami tidak akan tunduk dengan (dakwaan) kejahatan dan kezaliman ini. Biar mati berkalang tanah, daripada hidup bercermin bangkai. Adakah tidak benar fakta perjanjian ini? Nah, dedahkan kandungan perjanjian jika kerajaan berani.

“Dengan ini, kenyataan Ketua Pembangkang menolak MoU adalah disokong,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, dalam kenyataan berkata keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara Kerajaan Malaysia dengan parti PN dan antara Kerajaan Malaysia dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.

Hamzah mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment