Pas tolak Zahid sebab ada DNAA

TEMERLOH 15 Sept. – Kesediaan Pas menjalin semula kerjasama dengan UMNO atas agenda penyatuan ummah tanpa pembabitan Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah kerana Presiden UMNO itu masih terpalit dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram, meskipun dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata walaupun Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, namun ‘elemen’ itu dianggap pihaknya salah satu faktor mengapa Pas tidak membabitkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam agenda penyatuan ummah.

“(Ahmad) Zahid ini masih lagi (terpalit 47 kes), bukan hilang tapi DNAA. Bukan (beliau) tak ada kes kecuali dia tak ada kes.

“Kes dia masih lagi status DNAA. Kalau sekiranya (ada) bukti-bukti maka dia disabit. Bagi kita dia masih lagi ada elemen itu,” pada sidang media selepas penangguhan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.

Beliau mengulas reaksi Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki ekoran hasrat Pas untuk menjalinkan semula kerjasama dengan parti itu, tetapi enggan melibatkan Ahmad Zahid.

Asyraf Wajdi dilaporkan berkata: “Mana mungkin nak kahwin, tapi letak syarat tak boleh terima ayah pasangan”.

Menurut Asyraf Wajdi, UMNO tidak pernah menutup pintu kepada sesiapa, malah sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), parti itu terbuka untuk berunding dengan semua tetapi sesuatu permuafakatan itu perlu berasaskan kejujuran dan keikhlasan, ia umpama seperti sebuah perkahwinan.

Kelmarin pada sidang media sempena Muktamar Pas Ke-70 yang berlangsung di Kerdau, Temerloh, Abdul Hadi mengakui partinya masih terbuka untuk menerima kerjasama dengan UMNO.

Ahli Parlimen Marang itu turut mengesahkan mengenai usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang menggabungkan Pas serta UMNO sebelum ini yang dirintis tanpa membabitkan Ahmad Zahid.

Tuan Ibrahim menegaskan dari segi undang-undang kes membabitkan Ahmad Zahid itu boleh dibawa semula ke mahkamah dan 47 kes (pertuduhan) bukan perkara kecil.

“Dia didakwa itu kerana pendakwa menghentikan pendakwaan bukan sebagaimana yang berlaku pada Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Bagi kita presiden (Pas, Abdul Hadi Awang) sebut (tidak babitkan Ahmad Zahid). Ini kerana isu ini adalah isu integriti dan undang-undang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment