TEMERLOH 15 Sept. – Penubuhan Dewan As-Sabiqun bagi veteran Pas dan kehilangan keahlian secara automatik jika menyokong parti lain adalah antara tujuh usul yang diluluskan sebulat suara bagi meminda perlembagaan parti.
Usul itu dibentangkan oleh Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-70 malam tadi yang memerlukan sokongan dua pertiga atau 883 daripada 1,324 perwakilan yang hadir.
Usul pertama diluluskan membabitkan penubuhan dewan baharu iaitu Dewan As-Sabiqun sebagai wadah khas untuk ahli Pas berusia 60 tahun ke atas mencakupi kewujudan fasal baharu dalam perlembagaan iaitu Fasal 59.
Dewan itu akan berfungsi sebagai platform bagi ahli veteran Pas untuk terus menyumbang pandangan dan pengalaman.
Kedua, Dewan Perhimpunan Pendukung Pas (DHPP) diperkasa dan dimantapkan lagi dalam menyumbang kepada hala tuju parti dengan memberikan lebih hak dan peranan kepada ahlinya, termasuk hak mengundi dan dipilih dalam parti, sebagaimana ditetapkan dalam Fasal 60.
Ketiga, pindaan bagi mewujudkan peruntukan yang jelas dan tegas untuk menangani isu lompat parti di mana selepas ini, ahli yang menyertai dan menyokong parti lain yang tidak dianggotai Pas atau mengambil tindakan bertentangan dengan pendirian parti, akan kehilangan keahlian secara automatik.
Dalam peruntukan ini (Fasal 15A) juga meliputi ahli yang memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas, ia penting bagi memastikan disiplin dan kesetiaan ahli yang memegang jawatan dalam badan perundangan.
Keempat, membabitkan pindaan bagi mengemaskini peruntukan berkaitan dewan-dewan. Ia bertujuan memperkukuh pengurusan dalaman dewan-dewan Pas di peringkat Pusat, negeri dan kawasan.
Ia juga membabitkan beberapa syarat keahlian untuk Dewan Ulama, Pemuda dan Dewan As-Sabiqun termasuk syarat khusus terkandung dalam Fasal 56(2), Fasal 57(2) dan Fasal 59(2).
Kelima, pindaan membabitkan isu pentadbiran mencakupi Fasa 21, 22 dan 23 yang akan memberi kesan kepada beberapa aspek pentadbiran parti, termasuk penetapan tempoh masa muktamar yang sebelum ini terikat pada April lalu, dimansuh untuk memberi kelonggaran dalam penyusunan jadual tahunan.
Pindaan juga mengehadkan ahli Pas daripada memegang lebih daripada satu jawatan dalam mana-mana Jawatankuasa Kerja yang dipertandingkan. Ia bertujuan mempertingkatkan kecekapan pentadbiran dan pembahagian tanggungjawab di setiap peringkat.
Keenam, perlembagaan Pas dipinda untuk mewujudkan Lembaga Pemegang Amanah Pas berperanan mengurus dan memegang harta alih dan tidak alih milik Pas di peringkat Pas, negeri dan kawasan.
Lembaga ini akan memastikan pengurusan aset parti dilakukan secara sistematik dan teratur. Tempoh pemegangan jawatan Pemegang Amanah juga ditetapkan dalam pindaan ini.
Ketujuh, pindaan membabitkan isu teknikal merangkumi hal perubahan dan penyelarasan teknikal dalam perlembagaan Pas, termasuk penyesuaian istilah dan tatabahasa bagi memodenkan dokumen perlembagaan, seperti penggunaan perkataan ahli dan ahli bersekutu.
Peruntukan yang bersifat prosedural dikeluarkan dan dijadikan peraturan untuk memudahkan urusan pentadbiran parti di semua peringkat.
Contohnya, Fasal 31(2) hingga 31(7) (Pindaan 2020) mengenai Jawatankuasa Kerja Muslimat Pas Cawangan dimansuhkan dan dipindahkan dalam Aturan dan Peraturan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.
Selain itu, Fasal 39(9)(g) memberi kuasa kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat untuk membuat aturan berkaitan dewan-dewan.
Beberapa peruntukan yang tidak lagi relevan juga dimansuhkan atau diselaraskan dengan peraturan mesyuarat yang baharu. Contohnya, Fasal 50(2) (pindaan 2020) dimansuhkan kerana sudah dinyatakan dalam Fasal 52.
