Tindakan langgar pengurusan selamat

SINGAPURA 20 Okt. – Mulai hari ini, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap individu yang melanggar langkah-langkah pengurusan selamat Covid-19 di pusat-pusat penjaja.

Sejak 13 Oktober, pegawai penguatkuasaan jarak selamat “mengambil pendekatan menasihati ketika melakukan pemeriksaan.

Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) semalam, sepanjang tiga hari pada minggu lalu, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 92 individu kerana melanggar langkah-langkah Covid-19 di pusat penjaja.

Mereka didapati berhimpun dalam kumpulan melebihi dua orang, gagal mematuhi jarak selamat satu meter dan tidak memakai pelitup muka.

Bagi meningkatkan pengawasan, kamera pemantauan dipasang di pusat-pusat tertentu bagi melengkapi pemantauan secara fizikal terhadap pematuhan langkah pengurusan selamat.

NEA menggesa masyarakat memberi sokongan dan bekerjasama dengan duta jarak selamat dan pegawai penguatkuasaan bagi melaksanakan penguatkuasaan itu.

Langkah pengurusan selamat berbeza berdasarkan status vaksinasi berkuat kuasa di pusat penjaja dan kedai kopi pada 13 Oktober.

Di bawah peraturan itu, hanya mereka yang lengkap divaksin boleh makan di pusat penjaja dalam kumpulan dua orang dengan kanak-kanak belum divaksin berusia 12 tahun dan ke bawah juga boleh disertakan dalam kumpulan dua individu itu.

Individu yang belum divaksin atau menerima satu dos vaksin hanya boleh membeli makanan di pusat penjaja untuk dibawa pulang, sejajar dengan langkah-langkah sebelum ini yang dikuat kuasakan bagi kedai makanan dan minuman yang lain.

Setakat ini, lebih 800 orang belum divaksin atau sudah disuntik satu dos vaksin didapati melanggar langkah dibezakan itu.

Ketika pemeriksaan dibuat, mereka yang terlibat digesa menghabiskan makanan dan meninggalkan pusat penjaja dengan segera.

Related posts

Leave a Comment