BETONG 15 Sept. – Pembangkang sepatutnya menyatakan secara rasmi kepada kerajaan mengenai perkara yang tidak dipersetujui dalam draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), beserta cadangan balas.
Timbalan Perdana Menteri, Dr Fadillah Yusof, berkata beliau menunggu ‘hitam putih’ daripada mereka secara bersurat dengan menyatakan apa tidak dipersetujui, apa cadangan balas dan akan membawa ke peringkat jawatankuasa.
Bagaimanapun, Dr Fadillah yang mengetuai rundingan itu hanya mengetahui PN sebulat suara menolak draf itu hari ini melalui media tetapi menghormati pandangan PN dan akan membawa perkara itu ke peringkat Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan.
“Itu adalah draf, jadi saya harapkan mereka akan kembali nyatakan apa tidak dipersetujui, apa cadangan balas. Itu maknanya perundingan.
“Saya menunggu ‘hitam putih’ daripada mereka secara bersurat dan bila dah ada nanti, saya akan bawa ke peringkat jawatankuasa, dan dari situ kita akan bincang lagi sama ada nak terus berunding atau adakah ini muktamad daripada pihak pembangkang yang mereka tak nak berunding.
“Itu saya tidak pasti sebab apa yang dinyatakan, mereka tidak setuju dengan segala syarat,” katanya selepas merasmikan Penangguhan Regatta Tandang Sari 2024 di Betong, Sarawak, hari ini.
PN hari ini sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, berkata keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara kerajaan dengan parti PN dan antara kerajaan dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.
Beliau mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
Fadillah selanjutnya berkata, Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan akan membuat keputusan selepas menilai alasan penolakan yang diberikan PN itu.
“Kita nak menilai apa saja pandangan mereka sama ada kita nak kekalkan atau apa sajalah. Saya serahkan keputusan itu dalam jawatankuasa nanti. Saya harap akan ada jawapan rasmi daripada mereka sama ada cadangan balas atau apa sebenarnya pendirian mereka.
Perundingan ini perlu dibuat secara rasmi sebab saya menghantar surat secara rasmi,” katanya.
Awal bulan ini, Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan mendedahkan, terdapat tujuh syarat yang didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan seperti dituntut.
Antara yang menjadi syarat adalah pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan Raja-Raja (3R) yang didakwa beliau ada antaranya pelik dan tiada kena-mengena dengan peruntukan yang dituntut.
(Foto UKAS)
Nnnn
