KUALA LUMPUR 11 Jun – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Datuk Mohd Isa Abdul Samad berkuat kuasa 8 Jun lalu.
Dalam kenyataannya, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, penarikan balik itu kerana bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan.
“Selain itu ia susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” kata kenyataan itu.
Mohd Isa, 76, bekas Pengerusi Felda sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskan beliau dan mengembalikan sabitan rasuah, hukuman penjara serta denda terhadapnya.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati Mohd Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta, dengan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 membebaskan Mohd Isa daripada semua sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
Mohd Isa adalah Menteri Besar Negeri Sembilan yang paling lama berkhidmat iaitu dari 1982 hingga 2004.
Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden UMNO pada 2004 hingga 2005 dengan memenangi jawatan itu pada pemilihan parti 2004, namun digantung keahliannya pada Jun 2005 akibat kesalahan politik wang.
Nnnn
