TEMERLOH 12 Sept. – Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yakin Pahang bakal menjadi negeri kelima yang akan dikuasai parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Katanya, kejayaan parti yang dilakar hari ini adalah hasil daripada ‘benih ditanam’ sejak berdekad lalu, lantas bukan suatu mustahil untuk Pahang dikuasai pada PRU-16 di samping Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Katanya, atas sebab itu Muktamar Pas ke-70 yang berlangsung hari ini sehingga 15 September ini dibawa khusus ke Pahang sebagai isyarat bahawa Pahang sedia bersama-sama dengan empat negeri ditadbir Pas untuk ditadbir pada PRU-16.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya parti perlu fokus kepada gerak kerja selepas menenangi 43 Parlimen dan 105 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU lalu.
“Kita jangan lena dengan kejayaan itu, kejayaan kita hari ini hasil benih yang ditanam 10, 20 tahun dahulu,”katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Pemuda Pas Ke-65 di Dewan Al-Makmur Kerdau.
Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 daripada keseluruhan 42 kerusi DUN di Pahang, menyamai kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) manakala Pakatan Harapan (PH) dengan lapan kerusi.
Bagaimanapun, BN-PH bergabung bagi meraih majoriti mudah menubuhkan kerajaan negeri.
Dalam perkembangan berasingan, Tuan Ibrahim meminta sayap Pemuda melakukan anjakan paradigma dengan memberi fokus untuk menarik sokongan bukan Melayu, dalam misi menawan Putrajaya.
“Kita harus akui kelemahan kita yang perlu diatasi di kawasan bukan Melayu dan kawasan-kawasan di Selatan tanah air, apatah lagi di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Tambah beliau lagi, ada keperluan bagi Pas di Sabah dan Sarawak mendapatkan rakan ‘muafakat politik’ termasuk kemungkinan memberi autonomi di dua negeri itu bagi merancang strategi bersesuaian dengan politik setempat.
“Mungkin sampai masanya akan kita lihat bagaimana satu kuasa, mungkin autonomi perlu diberi kepada (Pas) Sabah, Sarawak merancang, merencana strategi dan pendekatan yang sesuai dengan situasi politik yang ada di sana,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mahu usaha menarik bukan Melayu di luar kerangka politik termasuk memberi pendedahan kepada golongan berkenaan mengenai realiti sebenar pentadbiran Pas di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.
“Fitnah yang berlaku pada jemaah oleh musuh kita menyebabkan mereka (bukan Islam) merasa takut untuk mendekati kita dan tidak mengenali kita kerana fitnah yang melampau.
“Kita digambarkan (sebagai) parti ekstrem, parti pelampau, digambarkan ‘gelombang hijau’ membahayakan negara,” katanya.
Nnn
