SEPANG 12 Sept. – Kerajaan wajar mempertimbangkan pengharaman pertubuhan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan remaja di rumah amal mereka susulan operasi yang dilakukan pihak polis.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata jika benar apa yang dilaporkan itu, pihak berkuasa juga perlu mengenakan tindakan paling berat.
“Mohon kepada mana-mana (sesiapa) yang ada maklumat ataupun berada di dalam situasi yang sama tentang perkara yang menyesatkan sebegini untuk jangan takut maklumkan pada pihak berkuasa.
“Kita mohon juga kepada pihak berkuasa untuk rempuh dan siasat setiap cawangan mereka dan memastikan perkara ini tidak berlaku di tempat lain juga. Perkara ini bukan ajaran Islam, ini sudah ajaran syaitan,” katanya dalam catatan Facebook, hari ini.
Beliau mengulas hasil serbuan Ops Global yang dijalankan semalam di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan milik pertubuhan berkenaan.
Dalam Op Global yang dijalankan antara pukul 6 hingga 11 pagi semalam, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan di Negeri Sembilan.
Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, dilaporkan berkata, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Mengulas cara operasi kumpulan itu, selain diliwat dan meliwat, Razarudin berkata, mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan mereka menjadi kritikal.
Nnnn.
