“Lulus perjanjian dengan keberatan”

GENEVA – Ayatollah Mojtaba Khamenei meluluskan dengan keberatan perjanjian ditandatangani Presiden Donald Trump bagi menamatkan perang di Asia Barat, ketika Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan ke atas pelabuhan Iran.

Mojtaba yang dilantik sebagai Pemimpin Tertinggi Iran selepas bapanya, Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan udara pada hari pertama perang pada 28 Februari lalu, berkata, beliau mempunyai “pandangan yang berbeza”.

Dalam kenyataan bertulis,  beliau meluluskan perjanjian itu walaupun mempunyai “pandangan yang berbeza”, tanpa menghuraikannya lebih lanjut.

“Namun saya memberikan kebenaran kerana komitmen yang diberikan oleh pegawai, termasuk Pezeshkian (Presiden Iran, Masoud Pezeshkian) untuk melindungi hak-hak rakyat Iran,” katanya.

Beliau turut berkata, rundingan secara bersemuka dengan AS akan diadakan pada masa hadapan, namun ia tidak bermaksud Iran menerima pandangan pihak lawan.

Sebelum ini, Ali Khamenei juga beberapa kali membenarkan pegawai kerajaan meneruskan rundingan walaupun beliau sendiri tidak menunjukkan minat yang tinggi terhadap proses berkenaan.

Anaknya, yang dilaporkan cedera dalam serangan udara, masih belum muncul di khalayak ramai sejak dilantik sebagai Pemimpin Tertinggi.

Perjanjian yang ditandatangani Trump dan Pezeshkian itu membuka laluan kepada tempoh rundingan selama 60 hari mengenai pelbagai isu yang masih belum diselesaikan antara kedua-dua negara, termasuk program nuklear Iran.

Di bawah perjanjian itu, Washington bersetuju menggantung sekatan minyak yang telah menjejaskan ekonomi Iran.

Selepas perjanjian muktamad mengenai program nuklear Iran dicapai, AS juga akan memudahkan penyaluran dana pembinaan semula bernilai AS$300 bilion yang disokong oleh negara-negara serantau.

Keputusan Trump menamatkan perang, yang mengorbankan 13 anggota tentera AS serta menggunakan sebahagian besar stok peluru negara itu, menimbulkan kegusaran dalam kalangan sekutunya sendiri.

Senator Republikan Bill Cassidy menyifatkannya sebagai “kesilapan dasar luar paling buruk dalam beberapa dekad”.

“Cita-cita nuklear Iran tidak berjaya dibendung, dan mereka kini tahu bahawa ancaman terhadap Selat Hormuz berkesan,” katanya.

Trump, yang menjangkakan kritikan sedemikian, berkata pada sidang kemuncak G7 bahawa beliau bersedia untuk “mengebom habis-habisan” Iran sekiranya negara itu melanggar perjanjian.

Dalam hantaran media sosial pada Khamis, Trump menyifatkan pengkritik perjanjian itu sebagai “orang bodoh” dan menggelarnya sebagai satu “kemenangan”.

Di Iran pula, beberapa golongan konservatif turut mengkritik perjanjian tersebut.

Bagaimanapun , Speaker Parlimen dan ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, menegaskan bahawa perjanjian itu membuktikan “kegagalan” AS, manakala Pezeshkian menyifatkannya sebagai satu pencapaian “bersejarah”.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment