GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan hampir semua penumpang dan kru kapal persiaran yang dilanda wabak maut hantavirus dan menjalani kuarantin di Belanda kini dibenarkan pulang ke negara masing-masing.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata, hampir semua penumpang dan kru MV Hondius yang dikuarantin di Belanda dibenarkan pulang termasuk bukan warganegara.
“Dengan tiada kes baharu dilaporkan sejak 2 Mei, keadaan kekal stabil,” katanya di platform X.
Hantavirus yang disebarkan oleh tikus ialah virus jarang berlaku yang tiada vaksin atau rawatan khusus. Spesies Andes yang menjadi punca wabak di Hondius adalah satu-satunya strain hantavirus yang diketahui boleh merebak dari manusia ke manusia.
Terdapat 12 kes disahkan dan satu kes berkemungkinan berpunca daripada kapal MV Hondius, termasuk tiga kematian, dalam satu wabak yang mencetuskan amaran kesihatan antarabangsa.
Kapal berbendera Belanda itu berlepas pada 1 April dari Ushuaia, Argentina, dan singgah di pulau-pulau terpencil di Laut Atlantik Selatan sebelum menuju ke utara ke Cape Verde, kemudian ke Tenerife di Kepulauan Canary, Sepanyol, sebelum baki penumpang dipindahkan.
Kapal ekspedisi kutub itu berlabuh pada 18 Mei di pelabuhan Rotterdam di Belanda, pelabuhan terbesar di Eropah, dengan kru yang tinggal menjalani kuarantin selama beberapa minggu.
Pada 30 Mei, kapal itu dibenarkan kembali belayar selepas proses pembersihan dan disinfeksi dijalankan.
Pada 8 Jun, St Helena, tempat ramai penumpang turun, mengumumkan penamatan insiden besar hantavirus yang diisytiharkan di pulau terpencil milik British itu, yang dihuni kira-kira 4,400 penduduk.
“Semua individu yang dikenal pasti sebagai kontak dan perlu menjalani pengasingan kendiri berjaya menamatkan tempoh pengasingan wajib selama 42 hari,” kata kerajaan pulau itu.
“Kemurahan hati dan ketabahan mereka amat penting dalam memastikan keselamatan seluruh komuniti kami. Tiada kes aktif, disyaki atau disahkan di pulau itu, dan tiada lagi risiko kepada orang awam,” katanya.
Nnnn
