GAZA – Kempen vaksinasi polio menbabitkan kumpulan terakhir kanak-kanak di utara Gaza, iaitu seramai 200,000 orang diteruskan walaupun sukar dilaksanakan dengan sekatan akses, perintah pemindahan dan kekurangan bahan api.
Pegawai kesihatan dan bantuan berkata kempen di wilayah yang paling teruk diserang tentera Israel diteruskan susulan langkah yang sama sudah dilaksanakan terhadap lebih 446,000 kanak-kanak di tengah dan selatan Gaza awal bulan ini.
Menurut pakar perubatan daripada unit penjagaan primer di Kementerian Kesihatan Gaza, Dr Moussa Abed, kakitangan perubatan mula memberikan vaksin di utara walaupun memerlukan bahan api dan berdepan pelbagai cabaran lain.
Timbalan Pengarah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Sam Rose, berkata pusat vaksinasi terbabit berada di kawasan terpencil, dikawal ketat tentera dan sukar diakses jika berlaku sebarang masalah.
Melalui kiriman pesanan mesej, beliau mengakui terdapat sedikit kegelisahan, tetapi pihaknya perlu memastikan ia dapat dilaksanakan.
Semalam, Israel menahan konvoi termasuk kenderaan dan bahan api untuk kempen vaksinasi.
Selain itu, wakil WHO, Tarik Jasarevic, memberitahu pemberita dalam satu taklimat bahawa pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam misi menuju ke hospital Al Shifa, Gaza terpaksa membatalkan rancangan terbabit.
Pada masa sama Israel turut mengeluarkan perintah pemindahan di utara Gaza, iaitu buat kali pertama dalam tempoh lebih dua minggu, termasuk kawasan yang juga sebahagian daripada zon kemanusiaan yang dipersetujui untuk vaksin polio.
(Foto UNRWA)
Nnn
