25 maut kebakaran kapal kargo

BEIJING – Presiden China, Xi Jinping, mengarahkan usaha mencari dan menyelamat dipertingkatkan susulan kebakaran yang berlaku di atas sebuah kapal kargo asing yang sedang menjalani kerja pembaikan di limbungan kapal milik kerajaan di Qingdao, timur China, semalam..

Jinping meminta siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan menentukan pihak yang bertanggungjawab.

Dilaporkan 25 orang maut dalam kebakaran yang tercetus kira-kira 11.15 pagi waktu tempatan di limbungan kapal Qingdao Beihai ketika kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan sedang dijalankan.

Daripada 42 individu yang berada di atas kapal ketika kejadian, 12 dipindahkan dengan selamat manakala lima lagi cedera dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. Api berjaya dipadamkan pada awal petang hari yang sama.

Gambar yang dikeluarkan media tempatan menunjukkan kapal yang terlibat ialah Ocean Melody, sebuah kapal pengangkut pukal berdaftar di Liberia.

Data perkapalan menunjukkan kapal berusia 20 tahun itu tiba di limbungan Qingdao pada 31 Ogos untuk menjalani kerja pembaikan dan kekal berada di lokasi sehingga insiden berlaku.

Limbungan kapal Qingdao Beihai dikendalikan oleh China State Shipbuilding Corporation (CSSC), antara syarikat pembinaan kapal terbesar di dunia.

Related posts

Leave a Comment