MB Selangor angkat sumpah Isnin?

SHAH ALAM 16 Ogos – Menteri Besar Selangor dijangka mengangkat sumpah selewat-lewatnya pada Isnin depan berikutan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pulang ke tanah air semalam.

Tempoh itu dikatakan bagi memberi  ruang kepada Istana Selangor membuat persiapan selepas baginda pulang setelah menjalani prosedur perubatan di luar negara.

Memetik laporan MalaysiaGazette, setakat ini calon Menteri Besar yang mendapat restu Presiden PKR, Anwar Ibrahim ialah Amirudin Shari.

Difahamkan Istana meminta dikemukakan tiga nama dan parti telah menghantar tiga nama dengan memberi keutamaan penuh kepada Amirudin berikutan kecemerlangan rekod prestasi beliau mentadbir Selangor.

Menurut laporan itu, dua lagi nama yang diserahkan kepada istana ialah Borhan Aman Shah (Tg Sepat) dan Fahmi Ngah (Seri Setia).

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang di Selangor.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabtu lalu, gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, Sultan Selangor yang berangkat ke London pada 28 Julai lalu, kembali ke tanah air semalam selepas menjalani rawatan dan pembedahan (surgery) Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP) di sebuah hospital di London.

Ketika di sana baginda turut menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Related posts

Leave a Comment