KUALA LUMPUR 10 Sept. – Kertas siasatan membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan disiapkan dalam tempoh dua hari sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Beliau berkata, proses merakam percakapan Teresa selesai hari ini dan siasatan sedang dilengkapkan tetapi, masih ada saksi lain yang ada kepentingan dalam siasatan ini akan dipanggil.
Razarudin berkata, setakat pukul 12 tengah hari, sebanyak 50 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kenyataan pensijilan halal oleh Ahli Parlimen Seputeh itu.
Terdahulu, Teresa Kok hadir di Bukit Aman pada pukul 9.42 pagi untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal.
Setiausaha Publisiti DAP diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Pada 8 September lalu, Razarudin, berkata polis membuka kertas siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) terhadap Teresa Kok membabitkan isu pensijilan halal yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
Bagaimanapun pada sidang akhbar hari ini, Pengerusi DAP Lim Guan Eng menegaskan parti telah membuat pendirian bahawa Teresa tidak bersalah.
“Beliau hanya menjalankan tugas sebagai seorang Ahli Parlimen untuk mengeluarkan pandangan dan kebimbangan yang dilahirkan oleh pelbagai pihak termasuk pengundi-pengundinya,” katanya.
Katanya, isu itu juga tiada kaitan dengan 3R dan DAP menyerahkan kepada polis untuk menjalan siasatan dan semua pihak diharap menangani perkara ini dengan tenang dan profesional.
