Siapa sebenarnya mulakan kontroversi

SEPANG 10 Sept. – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mempersoalkan siapakah yang memulakan kontroversi berhubung pensijilan halal mandatori di kedai-kedai makan bukan Islam.

“Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) atau Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Mohd Naim Mokhtar?,” tanya beliau dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.

Katanya, Teresa memberikan kenyataan sebagai reaksi terhadap kenyataan terbuka Dr. Mohd Naim, satu cadangan dasar awam berkaitan satu peraturan mandatori dari segi peraturan yang sedang dikaji oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Hassan turut mengemukakan tiga soalan,  pertama  adakah cadangan berkenaan pensijilan halal mandatori di kedai-kedai makan bukan Islam itu telah dibincangkan dalam Jemaah Menteri (Kabinet)?

Soalan kedua: Adakah Menteri Hal Ehwal Agama boleh umumkan di khalayak awam satu dasar kerajaan yang melibatkan undang-undang  dan peraturan yang masih belum diluluskan oleh Kabinet? Berbincang pun belum di dalam Kabinet.

Soalan ketiga: Untuk bersikap jujur dan adil siapa sebenarnya yang mula-mula mencetuskan konroversi? Teresa Kok Ahli Parlimen Seputeh atau Dr. Mohd Naim, Menteri Hal Ehwal Agama?

Menurut Hassan, kenyataan Teresa didakwa satu kesalahan di bawah 3R (kaum, agama dan raja) kerana dianggap menimbulkan keresahan dan kegentaran serta kemarahan awam dalam kalangan orang Islam.

“Bagaimana dengan statement Dr. Mohd Naim tentang satu cadangan yang belum lagi diputuskan oleh Kabinet yang jelas menimbulkan keresahan, kegentaran dan kemarahan sesetengah orang bukan Islam? Adakah statement Menteri Hal Ehwal Agama itu tidak termasuk dalam kategori pelanggaran 3R?

Adakah hanya apabila orang Islam berasa resah, gentar dan marah maka satu pelanggaran 3R berlaku?

Adakah sebaliknya jika orang Bukan Islam merasa resah, gentar dan marah maka pelanggaran 3R tidak berlaku? Adakah wujud sistem hukum dua darjat di Malaysia yang kita cintai ini?,” tanya Hassan.

Hassan mengakui sebagai seorang Islam, isu halal dan tidak halal dalam apa juga urusan hidup termasuk soal makan minum adalah relevan di Malaysia yang rakyatnya pelbagai kaum dan agama.

“Tetapi kita mesti jujur dan adil, tujuan tidak menghalalkan cara. Tujuan cadangan seperti yang diumumkan adalah baik tetapi cara pengumuman yang mengejut dan terburu-buru itu adalah salah dan tidak profesional bagi seorang Menteri,” katanya.

Menurut Hassan, selaku Menteri Hal Ehwal Agama Dr Mohd Naim perlu mengarahkan satu kajian yang lengkap tentang cadangan mengenakan dasar pensijilan halal yang mandatori dalam kalangan syarikat restoran bukan Islam.

Katanya, satu kertas cadangan dibawa ke mesyuarat Kabinet supaya semua menteri yang Islam dan bukan Islam berbincang secara mendalam dengan akal yang sihat, rasional serta tidak ikut sentimen.

Jika secara prinsipnya Kabinet bersetuju, libatkanlah Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Ini disusuli libat urus dengan pertubuhan-pertubuhan agama sama ada Islam dan bukan Islam di samping libat urus dengan persatuan peniaga-peniaga restoran bukan Islam sebagai pihak yang betul-betul terlibat.

“Jika isu undang-undang beres dan semua pihak yang terlibat faham akan tujuan peraturan yang baru itu, bawalah semula ke Kabinet supaya digubal satu rang undang-undang  berkenaan hal pensijilan halal yang mandatori.

“Memang leceh, memang lambat, memang melibatkan banyak kerja.Tetapi inilah yang dipanggil tatakelola urusan kerajaan yang baik,” katanya.

Beliau percaya apabila semuanya baik dan Rang Undang-Undang siap, Teresa tidak ada bantahan setelah mendapat penjelasan dan taklimat yang sempurna dalam menjelaskan tujuan baik dan berfaedah dari  Dr. Mohd Naim serta Jakim.

“Jika itu sepatutnya yang berlaku maka terselamatkah kita di Malaysia ini dari perpecahan di kalangan rakyat dalam soal makan halal atau tak halal.Maka terelaklah tak fasal-fasal seorang Ahli Parlimen disiasat dibawah 3R,” katanya.

Related posts

Leave a Comment