
BANGI 2 Sept. – Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd (Andalusia) menyumbangkan 20 pakej umrah kepada Masjid Al-Hasanah, tuan rumah Karnival Jelajah Impian & Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) Bangi.
Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin tampil mengumumkan sumbangan itu di pentas karnival Bandar Baru Bangi pada malam terakhir JIMBA yang berlangsung selama dua hari, 29 dan 30 Ogos lalu.
Di samping pakej umrah yang dijadualkan bulan ini, Ibrahim juga akan menyerahkan RM100,000 kepada pihak masjid sebagai zakat wakalah, juga untuk diagihkan kepada asnaf yang layak dan berdaftar dengan masjid.
“Untuk masjid saya bagi 20 pakej umrah serentak terbang September untuk asnaf yang berdaftar di masjid. Saya amanahkan kepada masjid mencari asnaf yang layak dan tidak pernah pergi umrah.
“Kedua saya mewakilkan masjid untuk mengagihkan zakat wakalah saya sebanyak RM100,000 kepada asnaf yang layak,” katanya pada pengumuman itu.
Bagi menghargai sokongan pengunjung terhadap karnival itu, Ibrahim turut mengumumkan lima pakej umrah tambahan menerusi cabutan bertuah khusus untuk para pengunjung Karnival JIMBA yang hadir.
Sebelum itu hanya ada satu pakej umrah sebagai hadiah cabutan bertuah di samping pelbagai hadiah barangan elektrik.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Eksekutif Andalusia Md Daud Che Ngah, Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris dan Nazir Masjid Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman.
JIMBA Bangi menawarkan pelbagai aktiviti melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak di samping gerai jualan makanan dan minuman serta pelbagai produk rakan strategik Andalusia.
Antara program yang dilangsungkan adalah Bangi Berselawat bersama Kumpulan Qasidah Mahabbah D Itqan dan tausiah jemputan oleh Ustaz Zul Ramli M Razali, Kursus Umrah Perdana bimbingan Ustaz Md Daud, Program Maulid.
Bicara Santunan Jiwa bersama Ustaz Elyas Ismail, Kuliah Dhuha Perdana bersama personaliti Al Quran TV Ustazah Farhatul Fairuzah, Pertandingan Perarakan, Bengkel Solat Cilik, Bilal Cilik, Pertandingan Misi Keluarga Patriot, Pertandingan Pentas Puisi Merdeka dan Pertandingan Mewarna Merdeka.
Terdahulu, Andalusia juga menyampaikan hadiah tajaan dua pakej umrah kepada dua daripada empat orang pelajar tahfiz Masjid Al-Hasanah pada Majlis Syahadah & Doa Khatam Al-Quran.
Pada majlis itu empat pelajar tahfiz syahadah 30 juzuk dalam masa dua hari dan pihak masjid menjanjikan hadiah mengerjakan umrah.
Mohd Safian bersyukur kerana dalam tempoh singkat, pihaknya mendapat tajaan daripada Andalusia dan juga As-Salam Group.
Katanya, hadiah umrah seperti dijanjikan kepada pelajar adalah setimpal bagi mereka yang menunjukkan kesungguhan untuk syahadah 30 juzuk dalam tempoh dua hari di masjid itu.
Andalusia menaja pakej umrah Transit Sharjah bernilai RM6,390 untuk Khairul Danish Khairul Fahmi, 19 dan Muhammad Izz Nuruddin Mohd Rahini, 15 manakala As-Salam Group menaja Adib Luqman Amri, 17 dan Muhammad Solihin Mohd Pauzi,15.
Md Daud menyampaikan sumbangan bagi pihak Andalusia manakala As-Salam diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Azfar Hussin.
Nnnnn
