IPOH 8 Sept. – DAP mempertahankan kenyataan Teresa Kok yang dianggap sekadar menyuarakan kebimbangan pengundi di kawasannya berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, Ahli Parlimen Seputeh itu mempunyai tanggungjawab menyatakan pandangan mewakili rakyat di kawasannya apabila cadangan berkenaan dilihat dapat mencetuskan kebimbangan terutamanya kepada pengusaha restoran bukan Islam.
Justeru beliau berharap isu pensijilan halal seperti yang dibangkitkan oleh Teresa tidak dipolemikkan.
“Sebagai ahli parlimen, beliau memang ada tanggungjawab menyatakan pandangan, dan apa yang dilontarkan itu mungkin respon kebimbangan terutamanya daripada restoran bukan Islam yang bimbang mereka juga terjejas ataupun diwajibkan mendapatkan pensijilan halal.
Sudah tentu apa saja dasar dan keputusan, ia akan dibincangkan di peringkat Kabinet. Jadi apa-apa isu kita bincang dalam Kabinet, tak perlu dipolemikkan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian Konvensyen Biasa DAP Perak ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Wong Kah Woh dan Penasihat DAP, Ngeh Koo Ham.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Kelmarin, Teresa dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Menurutnya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Anthony berkata, setakat ini beliau difahamkan apa yang diutarakan oleh Mohd Na’im itu adalah sekadar cadangan yang belum pun diangkat untuk pertimbangan memandangkan ia membabitkan kepada proses pindaan undang-undang dan sebagainya.
“Jadi isu itu kita akan bincangkan di peringkat Kabinet. Setakat ini ia cadangan yang belum pun diangkat untuk pertimbangan.
“Memang biasalah dalam negara kita ini banyak isu dipolemikkan, itulah yang kita dalam kerajaan cuba hendak selesaikan isu-isu ini. Apa pun isu timbul, boleh diselesaikan di peringkat kerajaan melalui Jemaah Menteri,” katanya.
Nnn
