KUALA LUMPUR 5 Mei – Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan (PH) mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Ketetapan tersebut dibuat pada mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di antara UMNO dan PH yang dipengerusikan bersama oleh Anwar Ibrahim dan Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mesyuarat selama kira-kira sejam itu berlangsung petang ini di Seri Perdana Putrajaya susulan krisis kepemimpinan selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Pertemuan yang berlangsung di sini hari ini juga telah mencapai persetujuan dan ketetapan untuk menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh kedua-dua Biro Politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Majlis juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada majlis itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO Dr. Asyraf Wajdi Bin Dusuki.
Tindakan semua ADUN UMNO/ BN Negeri Sembilan itu tercetus akibat krisis membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri itu, susulan tindakan seorang Undang Luak yang dilaporkan mengisytihar menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Sementara itu, antara yang hadir dalam pertemuan itu termasuklah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Johari Abdul Ghani; Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Nnnn
