Jawatankuasa DAP Perak catat sejarah

IPOH 8 Sept. – Pemilihan Jawatankuasa DAP Perak mencatat sejarahnya apabila buat pertama kali sejak pemilihan parti diadakan 58 tahun lalu, kesemua 15 calon pimpinannya menang tanpa bertanding.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengetuai senarai dengan mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi manakala bekas Menteri Sumber Manusia V Sivakumar sebagai Timbalan Pengerusi DAP Perak.

Turut kekal dua Naib Pengerusi DAP Perak iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari dan Exco Perak, A Sivanesan, selain Ahli Parlimen Taiping yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh sebagai Setiausaha.

Bagaimanapun jawatan Penolong Setiausaha yang sebelum ini disandang Ong Boon Piow diganti Jenny Choy Tsi Jen yang juga Timbalan Yang-Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Sementara itu, jawatan Setiausaha Publisiti kini disandang Kah Leong menggantikan Chong Zhemin yang juga Ahli Parlimen Kampar di mana kini beliau menyandang kedudukan Pengarah Pendidikan Politik DAP Perak.

Kah Leong dibantu Thulsi Manogaran (ADUN Buntong), manakala Ahli Jawatankuasa DAP Perak yang baharu dilantik adalah Loh Sze Yee yang juga EXCO Perak.

Kor Ming ketika mengulas keputusan itu berkata ia menunjukkan status DAP Perak sebagai sebuah pasukan yang lebih kuat apabila bersama dalam memikul sesuatu tanggungjawab dan amanah.

“DAP Perak hari ini berjaya mencipta sejarah buat pertama kali dalam 58 tahun pemilihan parti di mana calon yang dikemukakan oleh jawatankuasa negeri, semuanya 100 peratus menang tanpa bertanding… ini bagi kami pasukan yang akan ‘stronger together’ (lebih kuat apabila bersama),” katanya.

Perak mempunyai paling banyak cawangan DAP di seluruh negara membabitkan 331 cawangan yang menampilkan lebih 2,300 perwakilan ke konvensyen tahun ini yang turut disifatkan satu rekod tertinggi dalam sejarah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment