KUALA LUMPUR 5 Sept. – Kes jenayah siber di negara ini merekodkan peningkatan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dengan nilai kerugian keseluruhan yang dialami melebihi RM5 bilion.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata nilai kerugian direkodkan melalui 147,374 kes yang dilaporkan antara 2019 hingga Ogos lalu.
Katanya , perangkaan itu membuktikan trend jenayah dalam talian meningkat ketara tahun demi tahun iaitu meningkat 51 peratus daripada 17,668 pada 2019 kepada 34,493 pada 2023 manakala tahun ini, sehingga Ogos sebanyak 21,917..
Beliau berkata demikian pada sesi forum bertajuk ‘Malaysian Online Ecosystem’ pada Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, kerugian akibat jenayah dalam talian turut mencatatkan peningkatan mendadak, iaitu pada 2019, sebanyak RM747.2 juta direkodkan dan tahun lalu ia hampir mencecah RM1.2 bilion.
“Kami menjangkakan (kerugian akibat jenayah dalam talian) akan terus meningkat sehingga akhir tahun ini yang mana setakat Ogos sahaja kerugian dicatatkan adalah RM940 juta,” katanya.
Beliau turut memaklumkan maklumat tidak tepat dan palsu yang membanjiri platform dalam talian ketika ini semakin tidak terkawal dengan munculnya pelbagai jenis teknologi kecerdasan buatan (AI) baharu secara pantas.
“Sekarang ini, AI boleh hasilkan apa sahaja daripada teks hingga video. Satu daripadanya adalah ‘deep fake’ (penyamaran), malah kita boleh lihat bukan sahaja selebriti tetapi perdana menteri pun turut menjadi mangsa manipulasi teknologi ini.
“Bukan hanya ‘deep fake’, tetapi ada banyak kategori AI lain yang sedang digunakan antaranya pemalsuan identiti, berita, produk dan ulasan.
“Ada yang tanya daripada mana mereka dapat maklumat kita. Data kita berada di mana-mana, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu yang menyekat pergerakan kita.
“Jadi, aktiviti seperti memesan makanan dalam talian turut menjadi punca penyalahgunaan data apabila ia jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Nnn