KLANG 6 Dis. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah masalah ajaran sesat ketika ini amat membimbangkan, menjadi ancaman serius yang bukan hanya mencemari kesucian Islam malah boleh memecah-belah perpaduan umat.
Titah baginda penyimpangan akidah tidak boleh dipandang remeh kerana masalah itu ‘ibarat api dalam sekam’ yang boleh marak tanpa disedari.
“Dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam begitu bermahajaralela menyebabkan umat Islam mudah sesat dan terjerumus ke dalam ajaran-ajaran menyeleweng,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian berkenan merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang, semalam.
Baginda turut mengingatkan ahli-ahli jawatankuasa masjid supaya sentiasa mengambil langkah proaktif bagi membendung amalan ajaran sesat supaya tidak bertapak di masjid berkenaan.
Sultan Selangor turut menzahir rasa bangga dan sukacita kerana Selangor akhirnya mempunyai masjid jamek Cina Muslim pertama yang dibina dengan seni reka menarik berilhamkan reka bentuk sebuah masjid di daerah Xi’an, China.
“Menjadi hasrat dan harapan beta bahawa dengan terbinanya rumah-rumah ibadat pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang ini, akan dapat membentuk persefahaman serta hormat-menghormati antara penganut pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang khususnya dan di negeri Selangor amnya.
“Sukacita beta menyatakan, walaupun masjid ini dinamakan sebagai Masjid Jamek Cina Muslim, tidak bermakna masjid ini hanya dikhaskan untuk penganut Islam berbangsa Cina sahaja.
“Masjid ini seharusnya terbuka kepada semua penganut agama Islam tidak kira apa bangsa sekalipun, bagi menjamin perpaduan umat Islam sentiasa terpelihara.
“Ia juga dapat mengelak berlakunya salah faham antara pelbagai kaum yang menganut agama Islam. Saranan beta ini juga terpakai bagi masjid-masjid India Muslim di negeri Selangor ini,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Selangor meminta umat Islam di Selangor sentiasa memberikan tumpuan dan fokus terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan kerana ia mewakili suara khalifah (pemimpin) bagi menyampaikan ingatan dan nasihat kepada umat islam.
“Khutbah berperanan sebagai wadah ilmu dan membuat seruan kepada umat Islam untuk bertaqwa kepada Allah dan berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Asha’irah dan Maturidiah.
“Khutbah adalah sebagai medium bagi mengajak umat Islam untuk sentiasa hidup harmoni, saling menghormati dan mementingkan perpaduan,” titah baginda.
Pada majlis berkenaan, Sultan Sharafudin turut menyampaikan Anugerah Masjid Terbaik Selangor tahun ini kepada Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi Hulu Langat.
Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang disambut Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof serta Menteri Besar Selangor,
Amirudin Shari.
(foto Selangor Royal Office)
