KUALA LUMPUR 5 Sept. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dititahkan menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa kompromi berhubung insiden yang mengaitkan seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan individu didakwa menyerang individu dikenali sebagai Alias Awang.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menitahkan demikian memandang serius mengenai laporan berita yang tular di media sosial berhubung insiden tersebut.
“Justeru, saya menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.
“Sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan. Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan saya sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat yang terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang,” titah Tengku Hassanal dalam kenyataan media hari ini.
Sebuah portal secara dalam talian hari ini melaporkan seorang lelaki yang juga pekerja pembinaan dan penyelenggaraan, mendakwa diserang sekumpulan individu termasuk seorang kerabat Diraja Pahang.
Akibat serangan itu, mangsa dilaporkan cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.
Sehubungan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan yang sebelum ini dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya tetapi dikembalikan untuk tindakan selanjutnya.
“Ketika ini kita sedang melengkapkan kertas siasatan seperti yang diarahkan sebelum dihantar semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” kata Yahaya.
(Foto fb Tengku Hassanal)
Nnn