TANJONG 4 Sept. – Ketua Menteri Chow Kon Yeow, tidak akan bertanding dalam pemilihan DAP peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung pada 22 September ini sebagai langkah merangka pelan peralihan kuasa.
Bercakap pada satu sidang media di sini hari ini, beliau memberitahu , sebelum ini telah menerima sepucuk surat bertarikh 27 Ogos daripada DAP Malaysia yang memaklumkan dirinya dicalonkan untuk bertanding pada pemilihan itu.
Bagaimanapun selepas membuat pertimbangan teliti, Pengerusi DAP Negeri itu, mengambil keputusan menolak pencalonan dirinya untuk bertanding pada kali ini.
“Apabila saya dilantik semula sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023, Setiausaha Agung parti, Anthony Loke Siew Fook telah mengarahkan saya untuk merangka pelan peralihan kuasa.
Justeru, saya memutuskan untuk mengambil langkah pertama dalam pelan peralihan kuasa ini bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu pada pemilihan parti negeri 2024 nanti,” katanya
Dalam reaksinya. Loke menghormati keputusan dan pendirian Kon Yeow demi pembaharuan dalam kepemimpinan DAP Pulau Pinang selepas menerajui jawatankuasa negeri selama 25 tahun.
Katanya, keputusan itu tidak memberi kesan kepada pentadbiran di negeri berkenaan kerana Kon Yew masih lagi memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga akhir penggal ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri
“Sebelum pengumuman hari ini, beliau turut berbincang dengan saya berkenaan hasratnya,” kata Loje dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Kon Yeow berkata, masanya adalah tepat kerana pengerusi baharu negeri akan mempunyai lebih tiga tahun untuk memimpin dan mempersiapkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum yang seterusnya.
“Oleh itu, saya percaya perwakilan akan memilih Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang kukuh bagi meneruskan misi politik parti ini di Pulau Pinang,” katanya.
Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada parti dan ahli-ahli kerana memberi sokongan dan peluang kepada beliau untuk berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang sejak 25 tahun lalu.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha DAP Pulau Pinang selama lapan tahun dan Penolong Setiausaha selama dua tahun.
“Saya terhutang budi kepada penduduk Pulau Pinang atas sokongan padu serta semangat juang mereka bersama-sama saya sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai Pengerusi dan Setiausaha DAP Pulau Pinang,” katanya.
Ditanya sama ada kedudukannya sebagai Ketua Menteri akan terjejas susulan keputusan untuk tidak bertanding pada pemilihan itu nanti, Kon Yeow berkata, beliau menyandang jawatan atas pelantikan oleh parti.
“Sehubungan itu, saya fikir adalah lebih baik untuk parti menjawab soalan berkenaan. Bagaimanapun ketika dalam tempoh pelantikan saya, Setiausaha Agung parti ada menyatakan saya akan berkhidmat hingga penuh penggal dan tidak akan ada perubahan pada pertengahan penggal. Justeru, terpulang kepada parti,” katanya.
Mengenai calon-calon yang berkemungkinan menggantikannya kelak, beliau berkata, perwakilan akan menentukan perkara itu pada pemilihan parti nanti.
“Siapapun mereka, kami berharap mereka akan meneruskan perjuangan parti. Saya belum bersara kerana saya masih Naib Pengerusi DAP Kebangsaan,” katanya.
Secara tradisi, Pengerusi DAP Pulau Pinang akan memegang jawatan Ketua Menteri negeri ini.
Pada November 2018, Pulau Pinang menjadi negeri pertama membentang dan meluluskan usul menetapkan had dua penggal sebagai Ketua Menteri dan ini adalah penggal kedua perkhidmatan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
Nnnn