KUALA LUMPUR 1 Sept. – Barisan Nasional (BN) akan menjadi gabungan yang tidak lagi relevan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bergabung membentuk kerajaan ketika itu.
Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui keadaan itu akan berlaku apabila PH memperoleh 82 kerusi manakala PN 73 yang menjadikan jumlahnya melebihi majoriti dua pertiga yang memerlukan 148 kerusi.
“Ketika itu, PH ada 82 (kerusi), manakala PN (73 kerusi) dan titah Agong supaya kerajaan perpaduan diwujudkan. Jika 82 (PH) campur 73 (PN), maka 155 kerusi diperoleh di Parlimen melebihi majoriti dua pertiga
Kalau kombinasi PH dan PN (membentuk kerajaan), maka BN sudah tidak relevan lagi dalam situasi politik ketika itu,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Rakyat (myPPP) Ke-71 di WTC di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abdul Kadir; Pemangku Presiden MyPPP, Dr Loga Bala Mohan; Setiausaha Agung parti itu, Inder Singh dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.
Sementara itu, Ahmad Zahid menasihati semua komponen dan parti bersekutu dalam BN mengambil iktibar pada PRU14 untuk membina semula kekuatan gabungan berkenaan.
Justeru, beliau menasihati semua pemimpin supaya tidak dibuai dengan puncak kekuasaan kerana ia bukan milik peribadi, sebaliknya hak parti dan setiap perwakilan.
“BN ditempelak dengan tamparan hebat dalam sejarah politik tanah air, pada 2018. Ketika itu saya mengambil alih dalam keadaan UMNO dan BN kehilangan segalanya, bukan hanya kerajaan tetapi semua hak dan milik secara perundangan, malah aset UMNO telah tidak diiktiraf milik parti.
“Kita tahu lebih 10 pemimpin diheret ke mahkamah dengan tuduhan sengaja dibuat dan apabila proses perundangan dijalankan membuktikan ia jelas tiada, malah saksi pendakwaan juga tidak berwibawa.
“Ketika itu, pemimpin terbabit seorang diri, dalam keadaan susah dan tiada pengikut ketika mereka menoleh ke belakang. Bila keadaan susah, terpaksa jalan melihat lantai. Namun, apabila keadaan senang, kita melihat ‘tukang kipas’ (pelobi) ramai,” katanya.
Mengetengah keadaan cuaca sebagai perlambangan semangat setia kawan, Ahmad Zahid berkata, rakan akan sentiasa ada apabila berada dalam keadaan senang.
Nnnn
