Kematian akibat campak di Bangladesh meningkat

DHAKA – Jumlah kematian akibat campak di Bangladesh meningkat kepada 294 sejak pertengahan Mac lalu selepas 10 lagi kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia manakala 1,260 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut buletin Direktorat Jeneral Perkhidmatan Kesihatan, jumlah keseluruhan kes kini mencecah lebih 45,800 di mana ibu negara Dhaka, mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 149 kes.

Susulan penularan wabak itu, Bangladesh kini berdepan kekurangan serius kit ujian di seluruh negara sementara pesakit dari kawasan luar bandar dilapor mendapatkan rawatan lanjut di Dhaka, termasuk kemudahan sokongan hayat.

Bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan jangkitan campak telah merebak ke 58 daripada 64 daerah, iaitu 91 peratus, sekali gus menunjukkan penularan meluas pada peringkat nasional.

Kementerian Kesihatan telah melancarkan kempen vaksinasi khas dan sejak April lalu, pihak berkuasa telah memvaksin lebih 16.23 juta kanak-kanak.

WHO memaklumkan wabak itu dikaitkan dengan penurunan liputan vaksinasi, khususnya susulan kekurangan bekalan vaksin di seluruh negara antara 2024 hingga 2025.

Campak ialah penyakit virus sangat mudah berjangkit yang kebanyakannya menjejaskan kanak-kanak dan boleh menyebabkan komplikasi serius, termasuk radang paru-paru, keradangan otak serta kematian, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan atau tidak divaksin.

Ia kekal sebagai antara punca utama kematian kanak-kanak yang boleh dicegah melalui vaksin di seluruh dunia.

Nnn

Related posts

Leave a Comment