Jerlus bukan berpunca paip pembetungan IWK

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menegaskan kejadian tanah jerlus di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi, di sini, bukan berpunca daripada paip pembetungan awam miliknya.

Dalam kenyataannya, IWK berkata pasukan operasi sudah memeriksa lokasi kejadian sebaik menerima laporan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mendapati aliran air kumbahan di jajaran paip pembetungan lancar seperti biasa.

“Pemeriksaan lanjut sudah dibuat petang semalam dengan menggunakan kaedah kamera litar tertutup (CCTV) dan hasil siasatan mendapati bahawa paip dan lurang pembetungan awam dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda kerosakan.

“Pihak IWK berpendapat kejadian itu adalah disebabkan oleh punca lain yang memerlukan penyiasatan terperinci oleh agensi lain berkaitan. Hasil siasatan CCTV juga sudah dimaklumkan kepada pihak DBKL,” menurut kenyataan itu.

Pada 26 Ogos lalu, satu kejadian longkang runtuh dikesan di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi, di sini, sehingga mengakibatkan lubang besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pada Rabu lalu dilaporkan berkata langkah segera sudah dilakukan DBKL untuk memastikan paip berkenaan dapat dibaiki secepat mungkin.

“Paling utama paip IWK perlu diperbaiki dahulu kemudian kawasan sekitarnya. Kita jangkakan mungkin dalam tiga minggu kita akan dapat selesaikan perkara ini.

“Paling penting penduduk di sekitar perlu menjaga keselamatan supaya perkara yang tidak diingini tidak berlaku,” katanya selepas meninjau lokasi longkang runtuh berkenaan.

Pada Jumaat lalu, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

(Foto DBKL)

nnnn

Related posts

Leave a Comment