KUALA LUMPUR 30 Ogos – Mendapan kecil tanah yang berlaku di hadapan bangunan Ariani berhampiran Jalan Masjid India di sini, berpunca kerja baik pulih paip yang dilaksanakan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebelum ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan demikian susulan foto yang tersebar di media sosial mengenai mendapan kecil di kawasan tidak jauh dari lokasi tanah jerlus yang menyebabkan seorang wanita warga India terjatuh dan hilang.
“Pihak SYABAS telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan kerja-kerja baik pulih mendapan akan dilakukan segera dan dijangka selesai dalam tempoh tiga hari,” kata DBKL dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini.
Sementara itu di lokasi, pihak berkuasa membuka bata ‘interlock’ di sepanjang Jalan Melayu berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) manakala tengah hari ini DBKL mengalihkan aliran trafik daripada laluan terbabit dipercayai susulan mendapan yang dikesan.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini yang masuk hari kelapan diteruskan pagi tadi selepas ditangguhkan kira-kira jam 5 pagi tadi.
Difahamkan, operasi SAR hari ini masih memfokuskan kepada usaha merungkai ‘backlog’ disebabkan halangan sepanjang 15 meter di lurang kumbahan di Wisma Yakin, kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian.
Jumaat lalu, seorang wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Nnn
