KUALA LUMPUR 28 Ogos – Ismail Sabri Yaakob mengakui, beliau kecewa dengan layanan oleh segelintir pemimpin UMNO yang menjauhinya ketika beliau dilantik sebagai Menteri Kanan pada Mac 2020 sehingga Perdana Menteri pada Ogos 2021.
Beliau yang ketika itu Naib Presiden UMNO, tidak mendapat sokongan parti seperti yang diharapkan walaupun tidak mempunyai masalah dengan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sentiasa mengangkat suara parti dalam kerajaan.
Berhadapan masalah sama sehingga kini, Ismail Sabri berkata, ketegangan dalam UMNO bermula ketika beliau dilantik sebagai Menteri Kanan, yang disifatkan tidak dijangka ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pelantikan beberapa pemimpin UMNO dalam Kabinet oleh Muhyiddin membawa kepada kewujudan dua kem dalam UMNO, iaitu kem Putrajaya, merujuk kepada pemimpin UMNO dalam Kabinet dan kem PWTC,merujuk kepada kumpulan yang menyokong Ahmad Zahid.
“Gerakan untuk memecah-belahkan ini tidak pernah dari Putrajaya, walaupun ada dua kem, itu mereka yang cipta naratif. Kita tidak pernah. Dalam kalangan menteri, tidak pernah ada naratif berbeza dengan parti. Kita buat apa yag parti minta.
“Jika saya nak lawan parti, saya takkan peduli bila parti suruh saya bubar Parlimen. Saya bubar Parlimen kerana parti nak saya bubar. Saya orang parti,” katanya dalam program Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Ismail Sabri berkata, beliau dilantik sebagai Menteri Kanan ketika itu, berbanding Ahmad Zahid kerana Muhyiddin mengambil kira yang Presiden UMNO itu mempunyai kes di mahkamah, manakala Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula bukan Ahli Parlimen.
“Itu saja sebabnya, tiada sebab lain,” katanya.
Susulan pelantikannya sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata, beliau berusaha menjaga hati Ahmad Zahid.
“Suka atau tidak dia presiden parti saya… saya nombor tiga (naib presiden 1), mesti saya hormat dia… punya saya nak jaga hati mereka ini, waktu saya jadi menteri pertahanan, jadi TPM, PM maksimum (pengiring) berpuluh-puluh orang jadi pengiring saya.
“Saya tak pernah minta bila mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turunkan saya dekat Level 4 (lobi Menara Dato Onn), sebab kalau turunkan dekat situ orang akan tengok,”
Presiden dengar bunyi siren dan sebagainya saya takut dia lagi tersentuh, terasa hati… jadi saya masuk tingkat tiga ke parkir dan terus naik atas. Jadi polis tak boleh buka siren, saya sengaja buat macam tu sebab nak jaga hati presiden saya.”katanya dalam episod baharu audio siar Keluar Sekejap.
Rancangan itu dihoskan bekas menteri dari UMNO Khairy Jamaluddin dan juga bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan.
Ismail turut menafikan wujud ketegangan antara beliau dan Zahid ketika pentadbirannya, sebaliknya mengakui lebih kerap berjumpa presiden partinya itu di luar Perdana Putra, pejabat rasminya di Putrajaya.
“Masa saya dah jadi PM… saya boleh saja kata, ‘Tok jumpa saya dekat ofis’ tetapi saya tak buat begitu. Saya yang pergi ke Yayasan Akal Budi di Country Heights, Kajang.
“Masuk saja kawasan situ, tutup semua lampu dan siren polis… polis (pengiring) ramai-ramai duduk jauh sedikit dan hanya satu kereta saya saja masuk dalam tu.. (ini semua) sebab nak jaga hati presiden,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, beliau kecewa kerana sehingga hari ini, selepas tiada jawatan tinggi dalam parti atau kerajaan, beliau masih ‘diganggu’ walaupun disifatkannya sedang berehat.
“Saya tidak usik siapa-siapa pun tapi mereka masih lagi hentam saya. Cukuplah… saya sudah diam, jangan kacau saya. Biar saya dengan kehidupan saya.
“Bagaimanapun, baru-baru ini, dalam mesyuarat bahagian, ada wakil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang rapat dengan Presiden, bantai saya dan Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Hussein). Apa lagi anda nak? Anda sudah dapat jadi Presiden, tiada sesiapa pun mengacau, cukuplah,” katanya.
Foto fb KS
Nnn
