Audit Integriti di Jalan masjid India

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Audit integriti akan dilaksanakan terhadap keseluruhan sistem utiliti di Jalan Masjid India di sini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus selesai, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan keselamatan orang ramai dan untuk mengetahui punca berlakunya kejadian mendapan di kawasan berkenaan.

Katanya, audit integriti ini akan melibatkan antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Indah Water Konsortium, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Mineral dan Geosains.

“Kita akan melihat apa sahaja utiliti dan keseluruhan sistem yang ada di bawah tanah ini dengan membuat ‘post mortem’ dan bagaimana untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang pada masa depan… sebab kadang-kadang ada pembangunan baharu yang dilaksanakan, jadi kita nak cari punca (kejadian mendapan tanah).

Kita akan melihat punca dan akan menambah baik sistem (utiliti) ini,” katanya pada selepas meninjau lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, pada sidang media di sini, hari ini berkata SAR tidak akan dihentikan selagi tiada pengumuman untuk berbuat demikian.

Katanya, perkara itu dimaklumkan pada mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Fahmi berkata, pada mesyuarat itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa membentangkan laporan awal mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, beberapa lurang kumbahan sudah diperiksa dengan fokus kini tertumpu di loji rawatan kumbahan Pantai 1 dan Pantai 2 Indah Water Konsortium (IWK).

“Mereka sedang menyiasat untuk mengesan mangsa, namun setakat pagi tadi, mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Nnn

Foto FB DBKL

Related posts

Leave a Comment