Karnival wujud peluang niaga berterusan

KUALA LUMPUR 26 Ogos – UDA Holdings Berhad (UDA) menganjurkan Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia bagi mewujudkan peluang perniagaan secara berterusan, dan memastikan ‘Keluarga Usahawan’usahawan terus berdaya saing.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata langkah proaktif itu diharap dapat menjamin kelangsungan perniagaan, terutama dalam persekitaran ekonomi negara yang sedang dalam fasa pemulihan.

“Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia ini adalah antara inisiatif UDA bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi melahirkan lebih ramai lagi Keluarga Usahawan di Malaysia.

Inisiatif ini juga diharap dapat merancakkan pembabitan orang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan seperti pembabitan dari golongan wanita khususnya suri rumah serta generasi muda seperti siswazah,” katanya pada Majlis Pelancaran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Odeon Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Norliza berkata, akronim ‘USHA’ bermaksud ‘UDA Sempurnakan Hari Anda’ yang diterjemahkan sebagai jiwa dan falsafah karnival ini menjadi aspirasi agensi itu dalam menyediakan peluang dan platform untuk memperkasa serta memajukan usahawan daripada pelbagai latar belakang.

“Penganjuran karnival iniseiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu LIFE di mana UDA komited memperkasa gaya hidup lestari selari dengan hasrat kerajaan melahirkan Keluarga Malaysia yang makmur sejahtera.

“UDA turut berkolaborasi dengan KUSKOP serta agensi di bawah KUSKOP seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), SME Bank, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Bank Rakyat dan banyak lagi bagi membuka peluang kepada usahawan meneroka insentif bersesuaian,” katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan zakat disalurkan UDA kepada empat usahawan asnaf di Kuala Lumpur.

Sebanyak RM100,000 sumbangan zakat diperuntukkan untuk usahawan asnaf di seluruh negara sepanjang karnival  selama tiga bulan sehingga Oktober depan dan akan menjelajah ke lima lokasi di seluruh negara.

Lokasi pertama di Odeon Walk, Kuala Lumpur, bermula hari ini sehingga Ahad, Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang (16-18 September), Serambi Teruntum Kuantan, Pahang (23-25 September), Angsana Ipoh Mall, Perak (30 September-2 Oktober) dan Angsana Johor Bahru Mall, Johor (21-23 Oktober).

UDA menyasarkan penyertaan 100 usahawan di setiap lokasi dengan mengetengahkan usahawan meliputi pelbagai kategori perniagaan seperti makanan dan minuman, perhiasan diri, fesyen serta tekstil, selain jenama terkemuka oleh usahawan selebriti.

Related posts

Leave a Comment