Darurat: WHO tidak terlewat

ANDAI masa boleh diundurkan, adakah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengisytiharkan darurat kesihatan global lebih awal berikutan serangan koronavirus Covid-19? Itu persoalan yang ditimbulkan oleh seorang wartawan dari India ketika sidang akhbar Covid-19 di Geneva pada 22 April.

Menjawab persoalan itu, WHO mempertahankan tindakan yang diambil dalam menangani isu penularan koronavirus baharu SARS-CoV-2.

Ketua pengarahnya Tedros Adhanom Ghebreyesus menafikan pihaknya lewat mengisytiharkan wabak Covid-19 sebagai darurat kesihatan global sebaliknya berkata pengisytiharan darurat kesihatan sedunia dan kemudiannya pandemik itu dibuat tepat pada masanya.

“Apabila melihat semula, saya rasa kami telah isytiharkan darurat kesihatan sedunia tepat pada masanya dan dunia mempunyai masa mencukupi untuk bertindak,” kata Tedros.

Menurutnya, pengisytiharan darurat kesihatan itu dibuat ketika jangkitan di luar China masih kurang daripada 100 kes malahan ketika itu juga tidak ada kes kematian direkod di luar China.

“Kami isytiharkan tahap darurat paling tinggi ketika luar China hanya mencatatkan 82 kes dan tanpa kematian,” kata Tedros.

Tedros berkata jawatankuasa pakar membuat keputusan itu pada 30 Januari selepas gagal mencapai kata putus seminggu sebelumnya.

WHO mengisytiharkan wabak koronavirus yang telah meragut sekurang-kurangnya 170 nyawa di China sebagai kecemasan kesihatan global. Pengisytiharan itu juga berikutan  kes berkaitan wabak berkenaan meningkat lebih 10 kali ganda dalam tempoh seminggu.

Dr Tedros semasa pengisytiharan itu berkata perkara yang amat membimbangkan adalah potensi virus itu merebak ke negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah dan tidak bersedia menghadapinya.

Beliau berkata, sebab utama pengisytiharan ini bukan kerana situasi di China, tetapi kerana negara lain.

“Terdapat 98 kes di 18 negara di luar China, termasuk lapan kes jangkitan manusia ke manusia di empat negara iaitu Jerman, Jepun, Vietnam dan Amerika Syarikat (AS),” katanya

Related posts

Leave a Comment