PH sedia runding dengan BN

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk mengadakan rundingan bersama Barisan Nasional (BN) dalam usaha mendepani landskap politik akan datang, kata Pengerusinya, Anwar Ibrahim.

Beliau memberi jaminan rundingan berkenaan akan diadakan secara baik bersama BN dan parti komponen gabungan berkenaan.

“Hubungan kita dengan UMNO dan BN masih di tahap sangat baik. Kerjasama di peringkat ini sangat memuaskan.

Justeru, untuk masa hadapan, kita masih membuka ruang untuk berbincang secara baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di sini, hari ini.

Semalam, beberapa pemimpin UMNO mengakui parti itu masih perlu menjalin kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pandangan diketengahkan pada Perhimpunan Agung UMNO itu antaranya bertujuan memastikan persaingan satu lawan satu demi mengelak undi Melayu berpecah dan merugikan parti berkenaan.

Sementara itu, Anwar enggan mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, yang menyifatkan Kerajaan Perpaduan lebih teruk berbanding dajjal.

“Ustaz Hadi pada tahap sekarang kadang-kadang lebih banyak terlanjur (membuat kenyataan), jadi saya tidak berhasrat untuk ulas perkara berkenaan,” kata Anwar yang juga Perdana Menteri.

Nn

Related posts

Leave a Comment