Agihan kerusi PN belum muktamad

PADANG BESAR 5 Sept. – Perikatan Nasional (PN) belum memuktamadkan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun perbincangan dalam kalangan parti komponen telah diadakan.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Hamzah Zainuddin berkata, perbincangan itu turut melibatkan Pas dan Gerakan.

“Kita sudah pun ada perbincangan,” katanya ketika ditemui di luar Dewan Harumanis di Pusat Latihan Penjara (PULAPEN) Pusat Koreksional Perlis, Kok Klang, Chuping, di sini hari ini.

Baru-baru ini, dalam Muktamar Pas ke-68 yang berlangsung di Kompleks Pas Alor Setar, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pas menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen dan yakin bahawa mereka dapat menang sekurang-kurangnya 40 kerusi.

Malah, katanya, jika sasaran itu dapat dicapai, ia bermakna tiada mana-mana parti dapat membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa kehadiran Pas.

Dalam perkembangan lain, Bersatu belum memutuskan untuk menggunakan sama ada logo parti sendiri atau PN pada PRU akan datang meskipun beberapa pimpinan Pas Pusat dan negeri mendesak untuk menggunakan logo parti sendiri pada PRU itu.

“Kita akan bermesyuarat semula tidak lama lagi dan kita akan membincangkan secara terperinci untuk melihat di mana keuntungannya atau ruginya berhubung perkara itu. Semua akan diambil kira sebelum keputusan diambil,” katanya.

Sebelum ini, wujud desakan beberapa pimpinan Pas termasuk di peringkat negeri yang mahukan parti itu bertanding menggunakan logo sendiri berbanding logo PN yang berwarna biru tua itu yang dikatakan boleh menyebabkan penyokong serta pengundi parti itu terkeliru kerana persamaan dengan warna logo Barisan Nasional.

Related posts

Leave a Comment