JOHOR BAHRU 24 Ogos – Perikatan Nasional (PN) sedang mengalami kemerosotan sokongan susulan isu kontroversi membabitkan Muhyiddin Yassin dan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong, mendakwa ia diburukkan lagi dengan kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Katanya, antara punca kemerosotan PN adalah Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu yang dilihat masih terjebak dan terperangkap dalam kemegahan masa lalu sebagai Perdana Menteri singkat sekali gus tidak dapat bergerak melepasi fasa itu.
“Muhyiddin masih bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi. Beliau terus memperkatakan tentang peristiwa penubuhan kerajaan pada November 2022, sekali gus menyebabkannya mempersoalkan keputusan rasmi Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Ia adalah cerminan menyedihkan tentang fantasi yang tidak kesampaian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Chin Tong bagaimanapun berpandangan Pas pula terus kukuh dan diramal akan terus kekal kuat jika parti itu berjaya membawa pembaharuan dan bergerak mengatasi sentimen kaum dan agama.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin ketika ceramah umum PRK Dewan Undangan Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Pada 19 Ogos lalu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilaporkan menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang baginda sifatkan secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Muhyiddin bagaimanapun menafikan beliau berniat untuk memperlekehkan kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Dalam pada itu, Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, kekuatan Bersatu hari ini hanyalah bersandarkan kepercayaan ahlinya bahawa Muhyiddin boleh membuat kemunculan semula sebagai Perdana Menteri.
“Idea ini (Muhyiddin kembali sebagai PM) telah menyebabkan PN berjaya memenangi 74 daripada 22 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan bantuan Pas.
“Bagaimanapun, idea untuk menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak mampu menyelamatkan parti itu lagi. Apatah lagi Pas telah melahirkan pemimpin meningkat naik, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar, sebagai calon Perdana Menteri yang seterusnya,” katanya.
Chin Tong berkata, Bersatu juga berhadapan banyak isu perbezaan dalaman termasuk jangkaan perpecahan antara pemimpinnya susulan pemilihan parti yang akan diadakan Oktober nanti.
Nnn
