Anggota Bersatu disaran kembali kepada UMNO

SEPANG – Veteran UMNO,  Mohd Yussof Latiff mencadangkan pemimpin dan anggota parti Bersatu yang sebelum ini pernah bersama UMNO kembali menyertai parti asal mereka demi memperkukuh kedudukan politik Melayu.

Katanya, sebagai parti serpihan yang lahir daripada UMNO, amatlah wajar untuk anggota Bersatu kembali semula kepada UMNO yang juga dilihat semakin lemah.

“Ketika ini parti Melayu semakin lemah, maka eloklah pemimpin-pemimpin Bersatu ini kembali kepada parti asal iaitu UMNO, begitu juga dengan ahli-ahli Bersatu yang berasal dari UMNO.

“Jika kedudukan Melayu semakin lemah, maka wajar semua orang Melayu khususnya pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Bersatu bersatu di bawah UMNO untuk membina kembali kuasa Melayu yang kini semakin tercalar dan lemah,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Mohd Yussof menegaskan pemimpin-pemimpin UMNO juga perlu berlapang dada untuk menerima kembali jika ada ahli-ahli Bersatu ingin kembali kepada UMNO.

“Jangan ada curiga kepada mereka yang ingin menghulur tangan ikhlas demi masa depan Melayu, perpaduan dalam kalangan orang Melayu sangat diperlukan. Hilangkan ego masing-masing sebelum terlambat,” katanya.

Jelasnya lagi, krisis dalam Bersatu yang dilaporkan secara meluas di media cetak dan sosial dilihat semakin meruncing serta sukar dikawal oleh individu-individu dan cawangan serta bahagian Bersatu tidak berpegang kepada disiplin parti.

“Krisis kepemimpinan Bersatu nampaknya akan berlanjutan dan masalah ini akan menjejaskan Bersatu membuat persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang,” katanya.

Katanya , sebelum ini Bersatu menang bergaya pada PRU-15 yang lalu, namun sejak kebelakangan ini, parti ini dilanda krisis kepemimpinan yang serius.

“Peranan Bersatu sebagai sebuah parti pembangkang semakin hilang arah. Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen nampak berfungsi dengan hujah-hujah berani berbanding rakan-rakannya daripada Bersatu.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin pula pernah bersuara melepaskan jawatan Presiden Bersatu tetapi menarik semula hasratnya itu kerana penyokongnya mahu beliau terus memimpin Bersatu,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment