Kuasai media sosial hadapi ‘perang’ PRU

KUALA LUMPUR – UMNO wajib mendominasi platform media sosial dalam mendepani ‘perang’ sebenar pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi mengelak tragedi kekalahan terburuk dalam sejarah PRU14 dan PRU15 berulang.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, berkata, kegagalan untuk mendominasi ‘Medan Perang Digital’ iaitu platform media sosial, boleh menghadirkan igauan yang sama pada PRU16 mahupun pada PRN Sabah nanti.

“Hari ini, platform media sosial terutamanya Instagram dan TikTok sudah menjadi kitab (rujukan) untuk rakyat tahu perihal negara. Pincangnya langkah kita di situ, maka hilanglah kita ditanam fitnah beribu.

Saya sebenarnya bangga, kadang-kadang bila saya lihat komen-komen di media sosial, saya terharu bila melihat pemuda-pemuda di akar umbi, tanpa jemu dan lelah, terus melawan fitnah-fitnah jahat pembangkang.

Pemuda- pemuda akar umbi ini bukannya orang yang dibayar sebagai cybertrooper seperti pembangkang, tiada gaji, tiada ganjaran, tapi mereka berperang kerana mereka percaya apa yang betul, apa yang salah,” katanya.

Justeru katanya penguasaan media sosial bukan sahaja akan membolehkan fitnah ditangkis, bahkan rakyat dapat melihat sendiri usaha, kesungguhan dan pendekatan pemimpin UMNO di semua peringkat dalam memperjuangkan hak dan menjadi wakil membawa suara rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada perhimpunan agung sayap itu di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Dr Akmal, hasil kebijaksanaan mendominasi media sosial, rakyat akan dapat melihat hasil kerja yang dilakukan.

“Tugas orang muda dalam UMNO, tonjolkan pemimpin kita. Apa yang presiden, timbalan presiden, naib presiden dan pemimpin utama kita buat supaya fitnah kotor dan jahat dapat dilawan. Buat rakyat tengok sendiri dan mereka boleh nilai,” katanya.

Dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 serta penyertaan UMNO dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Ketua Pemuda itu mengingatkan sayap parti itu tidak lagi wajar dianggap sebagai ‘budak motor’ dan tukang pacak bendera.

“Maksudnya hari ini, perang akan datang ini bukan untuk kita beri ceramah saja, tapi perang kita sekarang adalah perang alaf baru. Bagaimana nak troll, konsep #fyp (viral di Tik Tok).

“Pemuda bukan lagi (kerjanya) ambil duit, bawa motor dan pacak bendera. Kerana pemuda hari ini bukan mat motor, pacak bendera,” katanya.

Dr Akmal berkata, UMNO perlu menjadi dominan dan pencapaian terburuk parti dengan hanya meraih kemenangan di 26 kerusi Parlimen wajib diperbaiki dan ditingkatkan.

“UMNO jangan cepat berasa selesa. UMNO perlu menjadi parti dominan dalam landskap politik negara. Angka 26 (kerusi Parlimen) perlu ditingkatkan jadi dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat, ini baru level UMNO,” katanya.

Tegasnya, UMNO bukan parti pelengkap dan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai level UMNO sebenar, iaitu untuk mencapai tahap dominan ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment