Pemuda UMNO bukan ejen PN

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, membidas pihak tertentu yang mendakwa Pemuda UMNO kini menjadi ejen kepada Perikatan Nasional (PN) sebaliknya menegaskan, Pemuda amat menyayangi UMNO.

Katanya, walaupun ada ketika mereka berbeza pendapat dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi ia langsung tidak merubah kesetiaan sayap itu kepada UMNO.

Justeru beliau memberi jaminan walaupun UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan, Pemuda akan pastikan nilai perjuangan tidak pernah berubah dengan tetap mempertahankan hak-hak Melayu, Islam, dan kedaulatan raja-raja Melayu.

“Kami Pemuda UMNO boleh berkawan dengan sesiapa saja tetapi apabila kamu sentuh agama kami, kamu sentuh bangsa kami, kamu sentuh raja-raja kami, kami akan bangkit lawan dan menentang kamu habis-habisan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan, Pemuda UMNO akan memastikan nilai perjuangannya tidak akan pernah berubah.

“Buktinya apa? Buktinya boleh lihat sendiri, tengok dan nilai. Berapa banyak kita bertelagah dengan jiran-jiran (komponen dalam Kerajaan Perpaduan) kita ini. Berapa banyak?

Sampai ada yang kata ejen PN, Ada yang kata membawa suara PN. Hei! kita ini ahli partilah (UMNO),” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Dr Akmal berkata, sayap itu juga telah membuktikan komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam.

“Tahun lalu, tanpa rasa takut, tanpa rasa ragu, kita kekal berhadapan dengan pelbagai isu yang menguji kredibiliti kita sebagai Pemuda UMNO. Pada masa itu, kita lihat sendiri jiran-jiran muda (sayap parti dalam Kerajaan Perpaduan) yang lain senyap membisu.

“Pemuda UMNO sahajalah yang tampil lantang bersuara. Ketika ramai yang takut, tak kira parti mana, kita berpegang teguh dengan pendirian,” katanya.

Beliau turut memberi contoh isu yang dibawa oleh pemuda itu seperti stokin tertera kalimah Allah, syarikat judi di sekolah, katak politik, BlackRock dan bekalan beras tempatan.

“Siapa yang mempertahankannya? Pemuda UMNO yang menjadi suara paling lantang perjuangkan. Kita lawan, kita serang…sampai terima ugutan bunuh pun kita tak pernah takut. Sebab itu prinsip kita,” katanya di hadapan lebih 1,200 perwakilan sayap itu.

Beliau juga mengkritik beberapa pemimpin UMNO yang pernah melabelkan dirinya seolah-olah menjadi jurucakap kepada pembangkang.

Dr Muhamad Akmal berkata, Pemuda juga sedia menggalas tanggungjawab sekali lagi untuk bertanding dan mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, bulan depan.

Beliau berkata, rekod kejayaan merampas kembali kerusi DUN Nenggiri pada minggu lalu dengan majoriti saluran orang muda dikuasai Barisan Nasional (BN), membuktikan komitmen tinggi sayap itu untuk membawa kemenangan seterusnya kepada parti.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, sayap UMNO itu menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Prestasi Wakil Rakyat Pemuda untuk memantau prestasi wakil rakyat, serta Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO FELDA bagi mengukuhkan sokongan anak muda di tanah rancangan itu.

“Kita juga sudah melancarkan Aplikasi Hey Pemuda yang boleh digunakan bukan saja oleh ahli parti tetapi juga orang ramai. Orang ramai boleh membuat aduan mengenai masalah dan isu-isu lokaliti. Aduan kita salurkan kepada Pemuda bahagian untuk tampil membantu selesaikan masalah.

“Pada masa sama, aplikasi ini juga untuk kita muatkan kandungan dan memperkasakan industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara. Hari ini, kalau orang ramai muat turun aplikasi itu, dia boleh masuk aplikasi dan bagi ‘detail’ (maklumat lengkap permohonan), kita akan permudahkannya (permohonan menyertai TVET),” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment