NEW DELHI 22 Ogos – Garis panduan pengambilan pekerja dari India akan lebih telus, adil, dan teratur susulan Kementerian Sumber Manusia memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pekerja asing yang sudah lupus 10 tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata langkah itu juga dapat mengemas kini prosedur pengambilan dan mencegah eksploitasi pekerja asing, yang akhirnya hanya merugikan negara dan pekerja tempatan di Malaysia.
Katanya, MoU asal sudah luput pada 2014 tetapi dalam 10 tahun ini sekitar 130, 000 pekerja asing dari India memasuki Malaysia tanpa sebarang dasar menetapkan prosedur pengambilan.
“Jadi, tahun lalu kita memulakan perbincangan dan mendapat kelulusan untuk MoU yang baharu dan tahun ini kita memeterai MoU baharu sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke India,” katanya selepas mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri, yang berakhir semalam.
Sektor yang dilihat kritikal memerlukan pekerja asing termasuk perkhidmatan, perladangan dan yang terbesar, pertanian, selain sektor formal berkemahiran tinggi, yang merekodkan lebih kurang 85,000 orang.
Tambah Sim, Malaysia menerima pekerja kejuruteraan dan teknikal dari India tetapi sektor yang kekurangan kritikal tenaga kerja ialah sektor kedai makan dan kedai gunting rambut, yang mana pengisiannya sedang dibincangkan sekarang.
Katanya, ini lebih menjurus kepada keperluan dalam negara dan tidak ada kaitan secara langsung dengan negara sumber iaitu India.
Sim juga menegaskan bahawa MoU baharu bukan bertujuan membawa masuk lebih banyak pekerja kerana had maksimum sudah ditetapkan, sebaliknya ia untuk memastikan proses pengambilan lebih teratur dan berpandukan undang-undang.
Selain itu, Kementerian Sumber Manusia turut menandatangani MoU kedua dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Kebangsaan di bawah Kementerian Pembangunan Kemahiran India, bagi mengeratkan hubungannya dengan TalentCorp.
“Pihak kementerian membangunkan sebuah portal digital untuk semua latihan kemahiran dan isu seperti penempatan pekerjaan dan pemadanan kerja dalam satu portal ekosistem yang yang disepadukan,” katanya.
(Foto FB PMX)
