KUALA LUMPUR 22 Jun – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di Istana Bukit Tunku, di sini, hari ini.
“Pertemuan Perdana Menteri bersama Pemangku Sultan Johor berlangsung di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur, pada hari ini. Allah peliharakan Sultan,” menurut hantaran dalam Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail.
Baginda berterima kasih dengan keperihatinan Perdana Menteri di atas perhubungan erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Johor.
“Saya turut bertukar pandangan dengan Perdana Menteri berhubung kerajaan Persekutuan harus sentiasa komited dengan pembangunan Negeri Johor demi kesejahteraan rakyat Johor,” menurut hantaran itu.
Kelmarin, media melaporkan Tunku Mahkota Ismail bertitah agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan sebahagian hasil dikutip daripada Johor, secara lebih munasabah bagi membolehkan pembangunan negeri itu dan kebajikan rakyatnya dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Baginda dipetik bertitah, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, titah baginda, hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dipulangkan semula kepada negeri ini bagi memenuhi keperluan hampir lima juta penduduk.
Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian pada satu sesi bersama rakyat Johor, kelmarin, sebagai mengulas kenyataan Anwar yang sebelum ini dilapor menyifatkan Johor sebagai negeri kaya tetapi berdepan masalah ‘kebocoran’.
Sahabat saya, Perdana Menteri, baru-baru ini membuat satu kenyataan mengatakan Johor ini negeri kaya tetapi banyak ‘bocor’.
“Ya, memang banyak ‘bocor’. Kerajaan Persekutuan yang ‘bocorkan’ Johor,” titah baginda.
Sementara itu, Anwar dalam kenyataannya berkata, beliau dan Tunku Mahkota Ismail sepakat untuk terus mengekalkan hubungan yang baik serta memperkukuhkan hubungan dan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor.
Beliau berkata sesi menghadap Tunku Mahkota Ismail hari ini di Kuala Lumpur juga berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni.
“Kami turut membincangkan perkembangan semasa dan perancangan berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni ini memberi ruang baik untuk bertukar pandangan serta membincangkan perkara berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, terutama di Johor,” katanya.
Nnnn
