SEPANG 17 Ogos – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi Facebook, juga mengucapkan terima kasih kepada jentera PN atas kerja keras dan meminta mereka menjadikan PRK itu sebagai “latihan” untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Dengan kemenangan itu, katanya, tentu kerajaan tidak ragu-ragu untuk mengisytiharkan kekosongan enam kerusi parlimen yang menyaksikan ahli parlimen Bersatu beralih sokongan kepada kerajaan sebelum ini.
“BN sudah kembali kuat. Sokongan rakyat di Nenggiri kembali kepada BN. Sudah tentu kerajaan tidak ragu-ragu lagi untuk mengisytiharkan kekosongan enam kerusi lompat di mana BN yang akan bertanding.
Itupun jika mereka yakin bahawa mereka sudah kembali kuat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi pilihan raya PN bagi PRK Nenggiri, Annuar Musa turut mengucapkan tahniah kepada BN kerana memenangi PRK berkenaan.
“Keputusan tidak rasmi sudah diperoleh. BN memenangi PRK ini dengan majoriti yang selesa.Kita ucapkan tahniah kepada yang menang. Selamat menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan,” katanya menerusi media sosial sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Tambah Annuar, rakyat Nenggiri sudah membuat pilihan dan PN perlu menghormati keputusan tersebut.
“Semoga rakyat Nenggiri mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, melalui Facebooknya juga, beliau mendakwa lebih 2000 pengundi putih PN tidak keluar gara-gara tempias berita pihak lain mendapat duit.
“Kadar keluar mengundi yang tinggi mungkin memberi kelebihan kepada BN. Apapun data 2 jam terakhir(4.00-6.00ptg) belum diperolehi bilik operasi PN. Persaingan mungkin sengit. Kita berserah pada Allah jua,” katanya.
Tidak lama kemudian beliau membuat satu lagi hantaran dengan berkata “2945 pengundi puteh tak keluar…cash is King?,”.
