Terima kasih Malaysia

SUBANG 16 Ogos – Malaysia adalah antara negara terawal dari Asia yang menawarkan bantuan merawat penduduk Semenanjung Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Israel, kata Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Justeru, beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas inisiatif itu.

“Tidak terkira ucapan terima kasih yang ingin saya sampaikan kepada Malaysia, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya dalam sidang media di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, petang ini.

Beliau berkata, rakyat Palestin yang ditawarkan untuk menjalani rawatan di negara ini pastinya akan merasakan Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

Sementara itu Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Nasr berkata kejayaan misi membawa rakyat Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza ke negara ini adalah hasil hubungan erat antara Presiden Mesir dan Perdana Menteri Malaysia.

“Sebagai Duta Besar, saya dan kerajaan (Mesir) bersedia membantu Malaysia demi mengutamakan nasib rakyat Palestin dalam memastikan mereka menerima segala bentuk bantuan yang ditawarkan.

“Kami bersedia pada bila-bila masa untuk melancarkan segala proses misi,” katanya

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin hadir pada Majlis Penerimaan Pesakit Rakyat Palestin tercedera akibat kekejaman Israel.

Hadir sama pada majlis itu Panglima Tentera Darat, Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan yang mewakili Panglima Angkatan Tentera.

Seramai 127 rakyat Palestin, terdiri daripada 41 pesakit serta 86 ahli keluarga yang mengiringi mereka tiba dengan dua buah pesawat A400M untuk membawa pulang rakyat Palestin yang cedera dari Kaherah.

Menurut kenyataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kumpulan ini termasuk kanak-kanak, remaja, dan dewasa, kesemuanya melalui proses dokumentasi yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Misi ini melibatkan 75 pegawai dan anggota ATM serta agensi awam, termasuk krew penerbangan, anggota TUDM, dan Pasukan Aeromedikal dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM (BPK).

Kesemua pesakit yang dibawa ke Malaysia telah melalui proses saringan yang dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK), ATM bagi memastikan mereka mampu menempuh penerbangan yang panjang.

Rawatan yang diberikan merangkumi pelbagai keadaan seperti patah dan kehilangan anggota badan, terutamanya kaki dan tangan, luka parah di kepala, kecederaan mata, serta penyakit dan kecederaan lain yang berlarutan akibat akses terhad kepada kemudahan kesihatan.

Hangar Nombor 16 Skuadron di Pangkalan Udara Subang diubah menjadi Mini Hospital (Medical Staging Area), persinggahan sementara bagi rakyat Palestin, sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

Sebanyak 26 buah ambulans disediakan untuk membawa pesakit dari lapangan terbang ke hospital, manakala sebuah bas dan lapan buah van digunakan untuk membawa waris dari kawasan transit ke hospital.

Nnn

Related posts

Leave a Comment