Laporan nahas pesawat di Bandar Elmina

PUTRAJAYA 16 Ogos – Laporan akhir mengenai nahas Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos 2023 mendedahkan faktor nahas disebabkan tindakan peluasan tidak sengaja ‘lift dump spoiler’ oleh kru penerbangan ketika melakukan pemeriksaan sebelum mendarat.

Di samping itu, laporan siasatan juga mendapati latihan kru yang tidak mencukupi dan kurangnya kesedaran tentang operasi sistem ‘lift dump’ turut menjadi faktor penyumbang ke atas nahas yang mengorbankan 10 orang.

Menurut laporan setebal 148 muka surat itu, juruterbang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang risiko yang berkaitan dengan sistem ini, yang menyebabkan kesilapan operasi berlaku.

“Tindakan ini menyebabkan kehilangan daya angkat secara mendadak, sekali gus mengakibatkan kehilangan kawalan pesawat dan kemalangan tragis itu,” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam kejadian itu, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang mengorbankan lapan penumpang dan dua anak kapal serta seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang motosikal (p-hailing).

Dalam aeronautik, spoiler (kadang-kadang disebut sebagai pengurang angkat atau pengurang daya angkat) adalah peranti yang sengaja mengurangkan komponen daya angkat pada sesebuah airfoil secara terkawal.

Selalunya, spoiler adalah plat di permukaan atas sayap yang boleh dinaikkan ke atas ke dalam aliran udara untuk mengganggu aliran udara yang licin.

Dengan cara ini, spoiler mencipta kekurangan kawalan pada bahagian sayap di belakangnya, yang secara ketara mengurangkan daya angkat pada bahagian sayap tersebut.

Spoiler berbeza daripada brek udara kerana brek udara direka untuk meningkatkan seretan tanpa mengganggu pengagihan daya angkat di seluruh rentang sayap, manakala spoiler mengganggu pengagihan daya angkat serta meningkatkan seretan.

Pengurangan lift:

Tujuan utama lift dump spoilers adalah untuk mengurangkan lift yang dihasilkan oleh sayap pesawat semasa pendaratan. Apabila digunakan, spoiler ini mengganggu aliran udara yang lancar di atas sayap, mengurangkan lift dan membantu pesawat mendarat di landasan dengan lebih cepat.

Peningkatan seretan:

Dengan menggunakan spoiler, pesawat juga meningkatkan seretan. Seretan tambahan ini membantu memperlambatkan pesawat dengan lebih berkesan selepas pendaratan, meningkatkan prestasi brek dan mengurangkan jarak yang diperlukan untuk berhenti.

Pengendalian di darat:

Lift dump spoilers membantu dalam meningkatkan pengendalian dan kestabilan pesawat selepas pendaratan dengan memastikan pesawat kekal stabil di landasan dan tidak melayang semula akibat lift yang tersisa.

Pelaksanaan:

Lift dump spoilers biasanya dilaksanakan secara automatik atau manual semasa fasa pendaratan. Dalam banyak pesawat, mereka diaktifkan apabila gear pendaratan diturunkan atau melalui penggunaan gear pendaratan itu sendiri.

Laporan itu turut mendapati keberadaan juruterbang utama yang ditempatkan di kerusi kanan, sementara pembantunya pula di kerusi kiri, menyimpang daripada protokol yang ditetapkan dalam Manual Penerbangan Pesawat.

Penyimpangan ini dipercayai menyumbang kepada komunikasi yang tidak berkesan serta pengurusan sumber kru yang lemah di mana proses komunikasi dan pengambilan keputusan yang tidak berkesan jelas berlaku ketika fasa kritikal penerbangan.

Ketiadaan taklimat atau amaran khusus mengenai operasi sistem daya angkat serta keputusan untuk menyimpang daripada protokol tempat duduk standard menunjukkan kelemahan dalam komunikasi dan ketika membuat keputusan.

Selain itu, laporan mendapati kegagalan pengendali pesawat untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan bagi perkhidmatan udara tidak berjadual dan pematuhan peraturan bagi penerbangan di Malaysia menonjolkan jurang dalam pengawasan operasi pesawat itu.

Laporan awal nahas berkenaan dikeluarkan sebelum ini menjelaskan pelanggaran dahsyat pesawat itu ke tanah, di samping kewujudan bahan api mudah terbakar di dalam tangki pesawat, mencetuskan kebakaran yang dahsyat di lokasi nahas.

Menurut laporan itu, nahas berlaku pada waktu siang dengan kebolehlihatan lebih 10 kilometer (km) dan angin berubah-ubah (VRB) pada 05 knots.

Pesawat itu dilengkapi dengan Perakam Suara Kokpit L3Harris FA2100 Cockpit Voice Recorder (CVR), yang mampu merakam 30 minit data suara empat saluran berkualiti tinggi.

Bagaimanapun pesawat itu tidak mempunyai Perakam Data Penerbangan (FDR). Tiada perakam penerbangan lain atau jenis ‘non volatile memory (NVM) storage media’ ditemui daripada serpihan pesawat.

Semua mangsa dikenal pasti melalui kriteria utama, seperti analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA), perbandingan odontologi, dan cap jari, serta kriteria sekunder, termasuk ciri badan, pakaian dan tanda lahir yang boleh dikenali oleh ahli keluarga.

Sementara itu, Laporan Akhir nahas itu boleh dimuat turun di:

https://www.mot.gov.my/en/AAIB/report/a05-23.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment