TENERIFE – Wabak hantavirus yang melanda kapal persiaran MV Hondius itu “bukan seperti Covid-19” dan risiko jangkitan adalah rendah menjelang ketibaan kapal persiaran itu di pelabuhan Granadilla awal pagi Ahad.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi jaminan itu kepada penduduk dan memaklumkan tiada penumpang yang menunjukkan simptom ketika ini.
Setakat ini, enam kes disahkan dalam kalangan penumpang, termasuk seorang daripada tiga individu yang meninggal dunia sepanjang pelayaran dari Amerika Selatan.
Pihak berkuasa Sepanyol telah menjelaskan langkah kawalan ketat bagi memastikan penularan dapat dicegah, termasuk memindahkan penumpang terus ke pesawat repatriasi tanpa berhubung dengan penduduk tempatan.
Hantavirus lazimnya dibawa oleh tikus, bagaimanapun strain Andes dipercayai boleh menular antara manusia.
Antara simptomnya termasuk demam, keletihan melampau, sakit otot dan sesak nafas.
Tedros turut menegaskan bahawa langkah pemantauan sedang dijalankan di atas kapal oleh pakar WHO bersama pasukan perubatan, dan setakat ini tiada kes baharu dikesan.
Penduduk tempatan sebelum ini menyuarakan kebimbangan, malah terdapat bantahan terhadap keputusan menerima kapal tersebut.
Namun, kerajaan Sepanyol menegaskan tindakan itu dibuat atas dasar kemanusiaan dan keupayaan Tenerife dari segi perubatan.
Selepas operasi pemindahan selesai, kapal itu akan meneruskan perjalanan ke Belanda bagi urusan lanjut termasuk pengendalian mangsa yang meninggal dunia.
