Anak Thaksin PM Thailand ke-31

BANGKOK 16 Ogos – Paetongtarn Shinawatra, 37 menuruti jejak ayahnya Thaksin Shinawatra dan ibu saudaranya Yingluck Shinawatra sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu bagi menggantikan Srettha Thavisin.

Perdana Menteri Thailand ke-31 itu muncul wanita kedua dan pemimpin termuda dalam sejarah kerajaan Raja Berperlembagaan Thailand sebagai Perdana Menteri.

Mahkamah Perlembagaan sebelum ini memecat Srettha kerana didapati bersalah melantik Pichit Chuenban, bekas peguam dikaitkan dengan keluarga Thaksin yang mempunyai sabitan jenayah, sebagai menteri Kabinet.

Untuk rekod, Thaksin mengetuai kerajaan Thailand pada 2001-2006 manakala adiknya Yingluck mulai 2011 hingga 2014.

Parti Pheu Thai memilih Paetongtarn sebagai calon pengganti Srettha pada Khamis dan tiada satu pun daripada 10 parti lain dalam gabungan yang dipimpinnya mengemukakan alternatif.

Bhumjaithai, parti ketiga terbesar di Parlimen, berkata ia telah ‘bersetuju untuk menyokong calon’ dari Pheu Thai dalam undian semalam.

Paetongtarn membantu mengendalikan cabang hotel empayar perniagaan keluarga itu sebelum memasuki politik pada penghujung 2022, dan terus terbabit dalam politik dengan menyertai kempen pilihan raya umum (PRU) tahun lalu.

PRU itu menyaksikan Parti Move Forward (MFP) yang progresif memenangi kebanyakan kerusi selepas berikrar untuk mengkaji semula undang-undang negara yang ketat dan memecahkan monopoli golongan perniagaan yang berkuasa.

Bagaimanapun, kumpulan Senator yang pro-tentera dan setia kepada Raja menghalang percubaan MFP untuk membentuk kerajaan walaupun ia adalah parti tunggal dengan kerusi Parlimen paling banyak.

Pheu Thai kemudiannya membentuk pakatan dengan parti pro-tentera yang pernah menentang Thaksin dan pengikutnya, menyaksikan kenaikan Srettha.

Nnn

Related posts

Leave a Comment