Covid-19: PR hilang akibat ‘keluar rumah’

SINGAPURA 5 Feb. – Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) menarik balik status penduduk tetap (PR) seorang lelaki yang dijatuhi hukuman penjara kerana melanggar notis jangan keluar rumah (SHN).

Menurut kenyataan ICA, penarikan balik itu dibuat pada 4 Februari setelah Chong Tet Choe dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu pada Ogos lalu kerana melanggar peraturan Covid-19.

Mereka yang gagal mematuhi notis jangan keluar rumah boleh didakwa di bawah Peraturan Penyakit Berjangkit (Covid-19 – Perintah Jangan Keluar Rumah) 2020. Kesalahan tersebut membawa hukuman denda sehingga S$10,000 dan/atau penjara sehingga enam bulan.

Warga asing mungkin menghadapi “tindakan pentadbiran lanjut” oleh ICA dan/atau Kementerian Tenaga Manusia, seperti menarik balik, atau menyingkatkan tempoh permit dan pas untuk kekal/bekerja di Singapura, menurut ICA.

Lelaki berusia 47 tahun itu keluar dari rumah sebanyak empat kali untuk membeli makanan dan menokok nilai kredit pada telefon bimbitnya walaupun doktor memberitahunya supaya duduk di rumah.

Dia mengaku bersalah tahun lalu atas tiga tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit kerana mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan, ketika terdapat kemungkinan dia merupakan kes Covid-19.

Related posts

Leave a Comment