Pelarasan gaji diberi bersama tanggungjawab

PUTRAJAYA 16 Ogos – Pelarasan gaji baharu yang diumumkan Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim diberikan bersama dengan tanggungjawab kepada penjawat awam, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN),  Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata penjawat awam perlu memenuhi jangkaan orang ramai dengan memberikan perkhidmatan terbaik.

“Ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan tertinggi kepada penjawat awam, tetapi penghormatan itu ia datang dengan pengorbanan penjawat awam.

Penjawat awam perlu memenuhi jangkaan orang ramai, tiada laluan mudah, semuanya berdasarkan prestasi,” katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Terdahulu Anwar mengumumkan pelarasan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam iaitu sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana dan tujuh peratus bagi pengurusan tertinggi penjawat awam.

Pelarasan gaji bagi pegawai kumpulan pelaksana, pegawai kumpulan pengurusan dan profesional adalah sebanyak lapan peratus pada fasa pertama dan tujuh peratus pada fasa kedua.

Bagi kumpulan pengurusan tertinggi, kadar kenaikan adalah sebanyak empat peratus bagi fasa pertama dan tiga peratus pada fasa kedua.

Anwar berkata, julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8 hingga 42.7 peratus, mengambil kira faedah berganda.

“Sebagai contoh, seorang guru yang berkhidmat selama lima tahun dengan pendapatan bulanan RM3,838 akan menerima pelarasan gaji sebanyak lapan peratus pada fasa pertama, menjadikan pendapatan bulanannya kepada RM4,085.04.

“Bagi fasa kedua pada Januari 2026 pula, guru akan menerima pelarasan tambahan sebanyak tujuh peratus, menjadikan pendapatan bulanan mereka kepada RM4,559.24,” katanya.

Contoh lain, seorang pegawai polis gred YA1 dengan pendapatan bulanan RM2,256 akan menerima pelarasan gaji sebanyak RM240, meningkat kepada RM2,496 manakala pada fasa kedua, pendapatannya akan meningkat kepada RM2,726.02.

Katanya, kaedah dan formula untuk pengiraan pelarasan akan dijelaskan secara terperinci oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada sesi libat urus akan datang.

“Seperti penjawat awam sedang berkhidmat yang akan diselaraskan gaji pada Disember ini, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara.

“Turut dipertimbangkan, pengorbanan dan bakti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jadi bagi veteran ATM tidak berpencen, Bantuan Sara Hidup (BSH) akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi yang layak,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pelarasan gaji penjawat awam itu dianggarkan mencecah lebih RM10 bilion setahun, namun jumlah sebenar akan diperincikan dan dibentangkan pada Belanjawan 2025.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment